Berdepan cabaran global, Amir Hamzah yakin ekonomi Malaysia berkembang tahun 2024

Oleh MAISARAH AISYA

Tahun ini negara akan lebih tertumpu kepada pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI dan semua dasar yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan kerajaan telah meletakkan garis panduan yang jelas bagi kemajuan ekonomi.

Menerusi satu temu bual bersama Bernama, Amir Hamzah memaklumkan terdapat isyarat bahawa persekitaran inflasi global menjadi lebih stabil

Ia dilihat akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi global, termasuk Malaysia.

“Malaysia dijangka berada di landasan bagi meraih pertumbuhan.

“Kementerian Kewangan yakin ekonomi Malaysia akan berkembang antara empat dan lima peratus pada 2024 meskipun berdepan cabaran global,” ujar Amir Hamzah seperti dipetik Bernama.

Kerangka ekonomi MADANI diperkenal pada tahun 2023

Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi negara juga dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang mampan.

Tahun 2023, kerajaan sudah menetapkan strategi yang berkesan dari segi bagaimana ia akan melaksanakan kemajuan.

Maka dengan itu orang ramai diperkenalkan dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Di bawah kerangka itu, kerajaan telah mewujudkan dasar yang kukuh seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Bharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12.

“Idea keseluruhannya adalah bagi mendapatkan hala tuju lebih jelas yang ingin dicapai supaya setiap orang yang berhasrat datang (dan melabur) di Malaysia jelas mengenai fokus negara ini,” katanya.

Sangkal dakwaan kerajaan MADANI gagal pulih ekonomi

Walaupun timbul banyak ura-ura ketidakupayaan kerajaan MADANI memulihkan eknomi, Amir Hamzah menegaskan eknonomi negara adalah ekonomi yang dipengaruhi persekitaran luar.

“Anda tidak boleh menggunakan satu ukuran sebagai isyarat sama ada ia lebih baik atau lebih buruk. Anda memerlukan sedikit masa untuk melihat sama ada terdapat penambahbaikan dalam keseluruhan aspek.

“Anda perlu memberikan masa kepada strategi Ekonomi MADANI untuk dilaksanakan dan pada masa sama, keutamaan segera untuk diselesaikan,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu menghargai kepentingan struktur tadbir urus yang lebih baik untuk negara.

Baca juga: “Sakitnya memang ke langit”, baru tahu ini rupanya punca Rafizi Ramli jalani pembedahan