Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mahu privasi sebab itu mereka tinggal berasingan namun ada ibu bapa suka menerjah rumah anak tanpa maklumkan.
Mula-mula boleh dimaafkan namun lama-lama pastinya mula terasa jengkel hingga anak dan menantu merasakan privasi mereka diganggu.
Seorang wanita, Aisya (bukan nama sebenar) berkongsi dirinya yang tinggal berdekatan dengan mentua.
“Aku Aisya dan baru setahun lebih berkahwin dengan seorang guru. Kami menyewa satu blok yang sama dengan rumah mentua, dan hanya jarak 10km dari rumah ibu bapaku.
Alhamdulillah kedua ibu bapa kami orang baik-baik, dan suamiku juga jenis yang rapat dengan keluarganya.
Pada mulanya aku tak kisah tentang jarak rumah yang dekat dengan mentua, tapi lama kelamaan makin terasa yang tiada sempadan antara mentua dengan kami.
Masa aku baru habis pantang, aku tengah duduk sarapan sebelah baby yang tidur. Aku hanya pakai baju tidur yang tak berlengan. Suamiku dah keluar bekerja.
Tiba-tiba aku dengar pintu grill rumah aku dibuka. Aku pun suspen siapa pula ini. Rupanya mak mentua aku datang (aku dah tak ingat apa tujuan dia datang).
Mak mentua main masuk je menggunakan kunci spare yang kami tinggalkan untuk kecemasan kat rumah mentua. Masa ni aku dah tak selesa tapi aku layankan aja.
Kemudian ada satu hujung minggu tu kami suami isteri dah bangun tapi masih baring-baring di katil, kejadian sama berlaku lagi.
Mak mentua aku datang terjah macam itu aja tanpa maklumkan kedatangannya. Kali ini aku cakap dengan suami aku tak selesa, tak ada privasi.
Suami aku rasa yang sama jadi dia pesan pada mak dia lepas ni kalau nak datang call dulu. Lepas kejadian tu, mak mentua aku akan call sebelum datang.
Tapi dia call bila dah ada depan pintu rumah aku. Dia call ‘Aisya, mak ada depan pintu ni.’ Selalunya dia datang untuk hantar makanan.
Mula-mula okay lagi
Memang aku bersyukur selalu dapat makanan, tapi lama kelamaan aku jadi benci keadaan macam ni.
Bila dah ada depan pintu rumah, tak kan aku nak kata eh tak boleh masuk. Mak baliklah.
Kadang-kadang rumah aku bersepah, kain baju belum selesai, aku sendiri tak terurus sebab tengah buat kerja rumah, aku tak suka orang datang.
Kalau nak kata datang tanya khabar, sebenarnya hari-hari mak mentua aku akan call aku bersembang dan aku layankan.
Kadang-kadang pagi call aku, malam call anaknya pula. Sehari berkali-kali call. Jujur aku sangat rimas tapi bolehlah aku sabar dan layan kalau sekadar panggilan telefon.
Tapi bab datang rumah tu memang aku rasa jengkel sangat. Kemudian, ada satu lagi yang jadi masalah.
Aku dan suami hanya pernah bercuti berdua dengan baby dua kali saja sejak kahwin.
Keluarga suami ikut pergi bercuti
Tapi kami dah pergi bercuti dengan keluarga mentua sebanyak 5 kali! Kenapa aku sampai buat kira-kira macam ni?
Sebab setiap kali aku dan suami plan untuk ke mana-mana masa cuti sekolah, mak mentua aku nak ikut bercuti sekali. Setiap kali.
Dan ada satu kali cuti yang dia tak ikut, dia akan call kami tanya macam-macam, macam mana hotel, baby macam mana meragam tak.
Pada aku, benda tu semua boleh kita sembang nanti lepas kami balik. Aku pernah staycation di KL dengan suami dan baby, malam tu mak mentua call suami tanya benda-benda biasa tu.
Aku jadi rimas sangat dengan keadaan ini. Sekarang ni next cuti sekolah dia dah booking nak ajak kami semua dengan adik-adik ipar ke Ipoh.
Walhal cuti sekolah sebelum ini kami baru pergi bersama-sama ke Melaka. Suami aku pun buntu nak suarakan macam mana sebab ialah mak sendiri kan. Takut kecil hati pula.
Aku pun buntu. Aku selalu tertanya-tanya salahkah kalau aku nak sedikit privasi dalam rumahtangga kami? Salahkah kehendak aku nak pergi bercuti berdua dengan suami dan anak?
Kadang-kadang hubungan aku dan suami sendiri pun tak berapa baik, baru lepas gaduh jadi aku fikir salah satu cara nak bagi rapat semula ialah bercuti berdua.”