Identiti sebenar Habib Mawla Amin terbongkar, PDRM siasat cubaan wujud ‘Kerajaan 9’

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, kes penderaan seorang pelajar di sebuah madrasah tahfiz di Selangor akhirnya membongkar konspirasi pihak yang cuba mengeksploitasi nasab suci Nabi.

Giat mengutip dana awam secara tidak sah, mudir madsarah terbabit juga didakwa begitu aktif mempromosi individu dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani.

Mawla Amin merupakan seorang individu yang mendakwa dirinya adalah warganegara Maghribi dan mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Hakikatnya, lelaki yang memegang kewarganegaraan dari negara Perancis-Algeria itu sebenarnya langsung tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean menerusi surat maklum balas yang diperoleh pihak Skuad Khas Harian Metro.

Difahamkan, pemilik nama sebenar Mohamed Amin Ouradj itu dilahirkan pada tahun 1984 di Algiers, Algeria sebelum berpindah ke Perancis mengikut ahli keluarganya.

Amin yang berjaya memperdaya segelintir masyarakat tempatan itu juga langsung tiada pertalian dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau jalur keturunan Baginda SAW yang lain.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau pergerakan Mawla Amin dan pengikutnya termasuk madrasah yang beroperasi di Selangor tersebut.

Hasil maklumat mendapati, mereka sudahpun membeli sebidang tanah seluas 11 hektar hasil daripada kutipan dana awam untuk membina perkampungan ‘Kerajaan 9’.

Perkampungan yang dirancang bakal dibina di Melaka itu adalah persiapan akhir zaman pengikutnya di mana ia menjadi penempatan individu yang kononnya diangkat sebagai Imam Mahdi.

Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan seorang pelajar yang dipercayai didera dan dipaksa tidur di dalam tandas melibatkan tenaga pengajar madrasah yang tidak berdaftar berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, Sharif Wazani Tayeb selaku Ketua Zawiyah al-Wazaniyah di Maghribi mengakui Mawla Amin bukanlah sebahagian daripada keluarganya.

Menurut Sharif, Mohamed Amin hadir di majlis Zawiyah Wazani sama seperti orang lain bagi mengambil gambar namun dia menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

“Dia bukan daripada keluarga kami (Keluarga Wazani, Ahlul Bait), saya tidak kenal dia. Saya bukan pakcik dia. Lelaki ini (Mohamed Amin) bukan daripada keluarga saya.

“Dia bukan daripada keluarga Wazani. Jika dia mengaku dia Wazani, maka dia penipu.” Jelasnya memetik laporan Harian Metro.

Wazani merupakan nama keluarga ‘ahlul bait’ yang diasaskan Muleh Abdullah Syarif manakala Zawiyah Wazaniyah pula adalah badan bertanggungjawab untuk menjaga nasab keturunan Nabi Muhammad SAW di Maghribi.

Untuk makluman, Sharif Wazani Tayeb adalah keturunan Hassan bin Ali yang ke-34.

Baca juga: Mawar anggap diri lebih gembira, tak akan dedah aib keluarga walaupun sudah sah bercerai