“Orang lain berubat badan aku pula yang sakit, ustazah akhirnya bongkar perbuatan mentua”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mula merasa susah hati kerana masih belum berjaya memberikan cucu kepada mentua setelah sekian lama mendirikan rumah tangga.

Membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan tanpa restu daripada ibu suami, wanita berkenaan teringin melahirkan anak bagi melembutkan hati mentua.

Lain pula yang jadinya apabila ibu mentuanya itu rupa-rupanya telah menjadi asbab kepada penderitaan yang selama ini dialami oleh pasangan suami isteri tersebut.

Berikut kami kongsikan perjuangan wanita bernama Erin yang akhirnya dikurniakan zuriat dengan keizinan Allah selepas pulih daripada gangguan ilmu sihir ikat rahim.

“Nama saya F. Tujuan saya ceritakan kisah ini adalah sekadar perkongsian dan pengajaran. Berhati-hati dengan semua orang walaupun mereka rapat dengan kita. Setelah hampir setahun kahwin, aku belum ada tanda-tanda hamil. Setelah dirujuk pada pakar O&G (Obstetrik & Ginekologi), aku disahkan normal.

“Kemudian, mula terdengar bunyi-bunyi sumbang dari pihak keluarga mentua kerana aku belum hamil. Aku pun mula berikhtiar cara perubatan Islam pula. Satu hari, aku dan beberapa orang jiran adakan majlis makan petang. Selesai makan, aku sembang dengan jiran depan rumah iaitu Kak Ma ketika sedang membasuh pinggan.

“Tiba-tiba, kami disampuk Kak Ti iaitu jiran selang dua buah rumah dari kediaman aku. Kak Ti mencadangkan aku pergi berubat di Tanjung Piandang. Katanya, adiknya pernah mengunjungi pusat perubatan Islam di sana. Alhamdulillah, kini adik Kak Ti telah dikurniakan dengan dua orang cahaya mata.

“Cerita bermula di sini. Kak Ti mempunyai adik bernama Erin. Mereka adalah anak yatim piatu. Erin berkahwin dengan Din selama 10 tahun. Tetapi, belum dikurniakan cahaya mata. Erin mula susah hati kerana umurnya sudah menghampiri 34 tahun. Ibu mentua Erin pula meminta anaknya berkahwin lain. 

“Dalam diam, Erin pergi berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Hasilnya, Erin normal. Ibu mentua Erin tidak menyukainya kerana dia adalah orang Melayu asli. Rupanya wanita itu mahu anak tunggalnya, Din berkahwin dengan pilihannya yang berkongsi keturunan sama. Hidung mancung.

“Kak Ti yang mengalami gangguan di tempat kerja telah mengajak adiknya, Erin bagi menemaninya ke pusat perubatan Islam itu. Hal ini kerana, suami Kak Ti outstation. Di sana, Ustazah Hasanah mula merukyah kak Ti. Tetapi Erin pula yang mula merasakan ada sesuatu perkara pelik pada dirinya.

“Sambil ustazah Hasanah merukyah kak Ti, dia memandang Erin. Dia tahu Erin rasa tidak selesa. Selesai merukyah Kak Ti, Erin beritahu Ustazah Hasanah bahawa dia terasa sakit di bahagian perut semasa proses rukyah tadi berlangsung. Kemudian, Ustazah Hasanah merukyah Erin pula.

“Ketika mahu pulang, Ustazah Hasanah memberikan Erin dua botol air bacaan surah Yasin. Ustazah juga menyuruh Erin mendirikan solat hajat dan membaca membaca surah Yasin selama tiga hari. Erin kemudian mengikut kata-kata Ustazah Hasanah. Selepas beberapa hari, Erin terasa ada kelainan pada dirinya.

“Erin tahu Ustazah Hasanah tahu sesuatu tetapi dia tidak diberitahu. Kebetulan, Erin pergi mengurut di rumah bidan kampung, Mak Jah berdekatan dengan rumahnya. Selesai mengurut, Mak Jah berkata kepada Erin bahawa ada orang telah mengikat rahimnya agar tidak mempunyai zuriat. Erin terkejut. 

“Mak Jah berpesan kepada Erin, jika dia mengandung jangan cerita kepada sesiapa pun sehingga usia kandungan empat bulan. Beberapa bulan selepas itu, Erin hamil. Dia terkejut tetapi tidak menceritakan kepada sesiapa pun termasuk suaminya, Din sehingga usia kandungannya 5 bulan.

“Fizikal Erin yang agak berisi menyukarkan sesiapa pun tahu yang dia hamil. Setelah usia kandungan memasuki lima bulan barulah Erin memberitahu Din. Lalu dengan gembiranya, Din memberitahu ibunya bahawa Erin telah hamil. Ibu mentua Erin hanya terdiam. Wajahnya mencuka. Din dan Erin hairan dengan reaksi tersebut.

“Sedangkan setahu mereka, ibu Din yang beria-ia mahukan kehadiran cucu. Tetapi kali ini, dia kelihatan tidak gembira. ‘Mak, kenapa diam bila Din cakap Erin mengandung lima bulan?’, soal Din. Ibu mentua Erin jawab, ‘gembiralah kalau dapat cucu daripada menantu pilihan. Erin bukan pilihan aku. Aku tak gembira pun’.

“Kata Din, ‘mak, sudah 10 tahun Din kahwin dengan Erin. Mak tak boleh terima dia lagi ke?’. Ibu mentua Erin dengan tegas balas, ‘Din, mak mahukan menantu yang datang dari kalangan keturunan kita. Faham tak?’. Din terdiam. Erin yang dengar perbualan mereka terkejut. Selama ini mak mentuanya melayan Erin dengan baik.

“Tak sangka ibu mentuanya pura-pura baik sahaja. Sedih. Erin mahu menumpang kasih dengan ibu mentua kerana dia anak yatim piatu. Tak sangka ibu mertua masih tidak mahu menerima kehadirannya dalam keluarga itu. Erin tahu wanita itu berpura-pura menerimanya kerana Din. Ibu mentua Erin takut kehilangan anaknya.

“Hal ini kerana Erin dan Din sudah bercinta dari zaman sekolah menengah. Din anak tunggal. Keluarga Din mengamalkan perkahwinan antara sepupu. Erin tahu pilihan ibu mentuanya adalah anak sepupu wanita berkenaan iaitu Aina. Dahulu, Aina rajin berkunjung ke rumah ibu mentua Erin.

“Tetapi sejak Din dan Erin berkahwin, Aina sudah tidak berkunjung lagi. Ketika Erin berada di ruang tamu rumah ibu mentuanya, Din keluar ke kedai kopi Pak Husin. Tiba-tiba, ibu mentuanya keluar dari bilik. Erin ditanya wanita itu, ‘sudah berapa bulan mengandung?’. Erin menjawab, ‘lima bulan, mak’.

“Ibu mentua Erin tanya lagi, ‘sudah besar. Tak alah?’ Tidak berdiam Erin membalas, ‘Tak pun, pelik juga. Rasa makin gemuk, risau pula tak datang-datang bulan. Pergi periksa, tengok mengandung. Alhamdulillah, mak’. Ibu mentua Erin marah betul. Kata Kak Ti, dia mengaku telah mengikat peranakan menantunya melalui sihir. 

“Pengakuan dibuat ketika ibu mentua Erin jatuh sakit. Setelah mendengar cerita Kak Ti barulah aku faham. Dalam dunia moden ini, masih ada yang mengamalkan sihir pemisah dalam rumah tangga. Amalan yang syirik iaitu sihir ikat rahim yang boleh menyebabkan isteri mandul dan merasa sakit di bahagian peranakan.

“Wanita yang terkena sihir ini juga terkadang mengalami haid tidak teratur atau datang terlalu kerap dan agak lama. Ada juga sihir simpul mandul. Ini sihir pemisah dengan mengunakan jin bagi menghalang keluarnya sperma atau menghalangnya dari memasuki rahim.

“Antara tujuan perkahwinan adalah mendapatkan zuriat. Jika perkahwinan lama itu tidak melahirkan zuriat sebagai ikatan suami isteri, maka akan timbullah pelbagai masalah yang memporak-perandakan sehingga berlakunya penceraian. Lalu tercapailah dendam orang yang menggunakan sihir ini kepada mereka yang dituju.

“Aku? Alhamdulillah, dikurniakan dua orang orang cahaya mata setelah menjalani perubatan Islam,” kongsi Madam F (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.

Untuk makluman pembaca, nama di dalam hantaran ini telah ditukar bagi melindungi identiti sebenar.

Baca juga: Berdepan cabaran global, Amir Hamzah yakin ekonomi Malaysia berkembang tahun 2024