Isu penambahan struktur bangunan oleh penghuni rumah flat bukanlah perkara baru, malahan nampaknya terus dipraktik secara berleluasa oleh pemilik-pemilik rumah kos rendah itu.
Sudah sekian lama media sosial tidak dihidangkan dengan isu seperti itu, namun baru-baru ini tular sebuah rumah yang didakwa diubah suai secara melampau sehingga kelihatan seperti teres satu tingkat.
Berdasarkan perkongsian @KulupFans di aplikasi X, pengendali akaun itu memuat naik gambar binaan rumah ‘teres’ yang diubahsuai, namun tidak didedahkan lokasi perumahan tersebut.
Rumah tersebut dilihat mempunyai ruang garaj untuk parkir kereta, selain dipasang pagar jeriji besar di bahagian halaman rumah.
Lebih mengejutkan, jiran di sebelah juga nampaknya melakukan pengubahsuaian sama dengan turut meletakkan pagar rumah.
Perkara itu menarik perhatian pengguna media sosial yang menyifatkan pemilik rumah B40 itu berselera ‘teres’.
Selain itu mereka juga menegur tentang kelewatan pihak berkuasa untuk memberi peringatan kepada penghuni-penghuni rumah flat agar tidak sewenangnya menambah binaan pada rumah mereka.
Antara komen warganet;
“Kawasan rumah sewa aku dulu hahaha dah siap pagar batu weh. Kalau nak tahu lot yang sebelah bertutup besi tu pun dia punya rumah juga”.
“Sikit hari lagi bumbung depan tu dia tukar ke simen untuk buat beranda terbuka, lepas itu dia naik dinding terus jadi teres 2 tingkat”.
“Tu dia. Bila mana tak ada tindakan tegas, tak ada undang-undang yang tegas macam ini lah jadinya. Selepas itu melarat semua ikut sampai ke cucu cicit sebab tiada tindakan doambil,” komen yang lain.
Baca juga: “Hilang privasi walaupun duduk rumah sendiri, mentua selamba masuk dengan kunci ‘spare’…”