Taib Mahmud meninggal dunia di usia 87 tahun, kenali Bapa Pemodenan Sarawak

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas Ketua Menteri yang paling lama berkidmat di negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia di Kuala Lumpur, pada pagi tadi (Rabu).

Allahyarham yang juga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Khabar duka tersebut disahkan menerusi satu hantaran di akaun Facebook milik anak bongsu Allahyarham iaitu Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Difahamkan, pengurusan jenazah tokoh politik berusia 87 tahun itu akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke Kuching, Sarawak, hari ini.

“Kembalinya ayahanda YB Datuk Hajjah Hanifah Hajar Taib yang dikasihi iaitu Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud kepada pencipta-Nya pada 21 Februari bersamaan 11 Syaaban 1445 Hijrah.

“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak. Semoga rohnya tempatkan bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936, Abdul Taib adalah anak saudara Ketua Menteri Sarawak ketiga yang juga Yang di-Pertua Negeri Sarawak keempat, Allahyarham Tun Abdul Rahman Yakub.

Pemimpin berketurunan Melanau itu memulakan persekolahan di kota kelahirannya di Sekolah Rendah St. Joseph sebelum ke Sekolah Menengah St. Joseph di Kuching.

Dikatakan, Abdul Rahman Yakub mahu anak saudaranya itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang selepas tamat sekolah menengah, lapor Berita Harian.

Pada tahun 1958, Taib yang lulus cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge itu layak mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan.

Abdul Taib kemudian berjaya memperoleh ijazah pertamanya dalam jurusan undang-undang pada tahun 1960, sama seperti yang diharapkan oleh bapa saudaranya.

Beliau kemudian pulang ke Sarawak sebelum dilantik sebagai pendakwa raya di dalam ‘Crown Council’ pada tahun 1962 sehingga 1963.

Taib juga mencipta sejarah dalam politik negeri itu selepas menjadi individu termuda dilantik dalam kabinet sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sarawak di usia 27 tahun pada 1963.

Kemudian pada tahun 1968 sehingga 1970, Abdul Taib Mahmud dilantik pula sebagai Penolong Menteri Persekutuan bagi portfolio Perdagangan dan Industri.

Beliau kemudian dipilih sebagai Ahli Parlimen Malaysia bagi kerusi Kota Samarahan pada tahun 1970 di mana kawasan tersebut diwakilinya selama 38 tahun berikutnya.

Tokoh politik berpengaruh itu kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1970 hingga 1972 seterusnya Menteri Sumber Semula Jadi (1972-1974).

Abdul Taib mula mengambil alih pentadbiran kerajaan Sarawak dari Abdul Rahman pada tarikh 26 Mac 1981 dan menjadi Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat.

Beliau akhirnya meletak jawatan pada 28 Februari 2014 apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh hingga 25 Januari lalu selepas berkhidmat selama 10 tahun.

Penerima Satria Bintang Sarawak yang membawa gelaran Pehin Sri Abdul Taib itu dikenali sebagai Bapa Pemodenan Sarawak apabila mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau juga adalah Presiden paling lama berkhidmat dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu selama 33 tahun bermula daripada 1981 sehinggalah 2014.

Abdul Taib melangsungkan perkahwinan pertama dengan wanita keturunan Poland, Puan Sri Laila Taib pada tahun 1959 dan dikurniakan dengan empat cahaya mata.

Anak kepada pasangan tersebut adalah Jamilah Hamidah Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan juga Datuk Hanifah Hajar.

Beliau kemudian mendirikan rumah tangga dengan wanita kelahiran Lubnan iaitu Toh Puan Raghad Kurdi pada 2010, setahun selepas kematian Laila akibat barah pada 29 April.

Baca juga: Penduduk di Sabah naik angin, bertahun-tahun jalan rosak dan berlubang tapi yang dibaiki cuma ‘signboard’