“Mentua berubah lepas suami tiada, aku dan empat anak dihalau dari rumah hibah”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka bahawa mentua yang disayanginya bakal berubah sekelip mata selepas suaminya meninggal dunia secara tiba-tiba.

Difahamkan, wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Sutera itu tinggal bersama mentua kerana menghormati keputusan suami yang merupakan anak lelaki tunggal.

Sutera bagaimanapun diminta keluar dari rumah yang kononnya dihibahkan kepada suami selepas lelaki itu tiada bagi memberi ‘laluan’ kepada adik ipar perempuannya.

Berharap kisahnya dijadikan pengajaran agar tidak terlalu bersangka baik kepada ‘orang luar’, berikut perkongsian Sutera yang terpaksa berdikari selepas kematian suami.

“Saya berharap agar perkongsian ini boleh dijadikan iktibar dan pengajaran. Kejadian berlaku beberapa tahun lalu, namun baru terpanggil untuk berkongsi. Saya Sutera, berumur akhir 40-an. Bekerja sebagai guru dan mempunyai empat orang anak yang Alhamdulillah, sihat serta bijak.

“Saya seorang yang bersifat lurus, boleh dikatakan baik dan juga sentiasa husnuzon (sangka baik) dalam setiap perkara. Saya tinggal bersama mertua disebabkan suami adalah anak lelaki tunggal. Suami telah menyatakan hasrat untuk duduk bersama ibu bapanya sebelum menikah, maka saya berkenalan dengan mentua dan serasi.

“Adik beradik suami yang lain semuanya perempuan. Mereka bekerjaya profesional dan berjaya namun tinggal sedikit jauh daripada mentua. Suami saya juga bekerjaya dengan gaji yang selesa, Ahamdulillah. Mentua kedua-duanya daripada keturunan yang baik, beragama dan pernah berkerja dalam bidang profesional. 

“Mereka berdua sudah pencen dengan total RM8,000 sebulan. Jadi di rumah pusaka itu saya tinggal bersama suami, mentua dan anak-anak. Disebabkan kami ini ramai, saya dan suami bersetuju membuat pinjaman peribadi (60% suami, 40% saya) untuk ubah suai rumah mentua dengan menambah bilik-bilik.

“Rancangnya bilik baharu itu bakal diduduki anak-anak kami. Lagi pula, ibu mentua telah menghibahkan rumah tersebut kepada suamiku. Kedua-dua mentua tahu akan pinjaman peribadi tersebut. Mereka juga berterima kasih kerana saya sudi membantu meringankan bebanan kewangan suami. 

“Adik-adik perempuan suami pula dihibahkan bahagian tanah di kampung yang agak luas. Alhamdulillah semuanya baik dan gembira. Ramai kenalan saya yang cemburu dengan keakraban kami. Saya ketika itu dilayan mentua seperti anak sendiri. Semua adik ipar juga sangat baik dengan saya dan anak-anak.

“Kesimpulannya, saya tidak kekok tinggal bersama mentua. Namun, semuanya tidak seindah mana apabila suami saya meninggal secara tiba-tiba. Ayat mentua, ‘jangan risau, ibu akan jaga Sutera dan cucu-cucu ibu. Teruskan teman ibu dan ayah di sini’. Saya bersyukur kerana diterima walaupun hanya menantu.

“Ibu mentua juga banyak bercerita kepada orang yang hadir. Katanya, akan menjaga saya dan anak-anak. Ramai memuji tindakan ibu mentuaku. Saya? Tentulah terharu. Memikirkan anak-anak sangat rapat dengan ibu mentua berbanding ibuku sendiri, saya setuju dia memang baik orangnya.

“Mungkin asbab kebaikan itu, salah seorang anak perempuannya dapat bertukar ke negeri kami. Mereka sekeluarga menyewa di taman berhampiran kampung. Namun atas kekangan masa, anak-anak iparku dihantar ke rumah ibu mentua. Saya baik-baik sahaja. Lebih ramai, lebih meriah.

“Setelah beberapa bulan suami meninggal, barulah rumah yang kami ubah suai itu siap sepenuhnya. Rumah lama yang diberi nafas baru. Pinjaman peribadi pula hanya tinggal beberapa tahun sahaja untuk diselesaikan. Saya dan anak dapat keseluruhan hibah simpanan suami kerana dia sangat menjaga perihal kewangan kami.

“Duit gratuity (sagu hati) kerja suami, saya selesaikan pinjaman peribadi kami berdua dan berikan sebahagian kepada ibu. Alhamdulillah, kurang bebanan hutang kecuali kereta saya yang juga tinggal beberapa tahun untuk diselesaikan. Urusan faraid juga mudah, Alhamdulillah. Ibu juga dapat bahagiannya.

“Perkara yang tidak disangka tiba-tiba berlaku. Adik ipar sedikit sebanyak mula tidur dan tinggal di rumah mentua. Bilik anak-anak saya terpaksa berkongsi. Satu hari, ibu memanggilku dan meminta supaya berpindah bilik. Katanya kongsi sahaja bersama anak perempuan saya. 

“Bilik kelamin saya agak besar, senang untuk anak perempuannya tidur di situ setiap kali pulang. Alasannya sebab bilik tamu terlalu kecil. Saya tak mampu berkata apa-apa kerana memikirkan kami hanya menumpang. Walaupun hakikatnya, hampir semua perabut di dalam bilik itu telah saya tukarkan dengan yang baru.

“Semakin lama, adik ipar menyatakan hasrat untuk berpindah di rumah ibu bapanya ini. Alasan untuk menemani mereka yang semakin menginjak usia. Dia meminta saya berpindah ke tempat lain. Katanya, khuatir sekiranya saya berkahwin semula. Secara tiba-tiba. Ya, saya terduduk dan tergamam.

“Memikirkan rumah itu dihibahkan kepada suami, jadi kami suami isteri tidak pernah membeli kediaman lain. Banyak duit kami laburkan di situ. Saya bersyukur kerana tak meneruskan niat suami untuk membuat ubah suai dalaman. Ibu mentua menerima cadangan adik ipar dengan alasan sama. Takut saya berkahwin semula.

“Alasan lain adalah kerana saya bekerja dan masih berpendapatan tetap serta ada pencen suami. Jadi, saya mampu untuk membawa diri sendiri dan juga anak-anak. Katanya, anggaplah rumah ini hadiah dan kenangan suami untuk ibu dan adik-adik beliau. Saya terdiam dan menangis. Sungguh saya rasa disisihkan.

“Selepas banyak saya berhabis duit untuk rumah tersebut. Ibu mentua menyatakan bahawa tanah rumah tersebut atas nama beliau. Maka dia ingin memberikan kepada anak perempuannya. Saya diam untuk beberapa lama. Namun saya sedar dan mula menguruskan urusan perpindahan rumah dan sekolah anak-anak.

“Alhamdulillah, saya mendapat pertukaran dengan mudah. Semua urusan anak-anak juga dipermudahkan. Ya, itulah kisah husnuzon saya. Meskipun kami duduk agak jauh, saya masih membawa anak-anak berjumpa nenek mereka. Namun, layanan sangat berlainan berbanding ketika suami masih ada.

“Betul kata mentua, saya tak perlukan wang ringgit. Tetapi layanlah anak-anak saya yang juga sebahagian suami iaitu cucu mereka sendiri. Mereka sekeluarga sangatlah bimbang sekiranya saya menuntut ‘hak dan janji’ anak-anak. Tidak mereka katakan secara nyata, namun saya faham setiap kali pulang melawat mereka.

“Saya bersyukur masih berkerja, mampu menyara keempat-empat anak. Bersyukur suami hibahkan hampir kesemua simpanannya kepada saya dan anak-anak. Bagus bersangka baik. Tetapi ingatlah, kita menantu hanyalah orang luar. Kesilapan saya adalah, tidak menyemak hitam putih hibahan rumah tersebut.

“Rupa-rupanya hanya hibah di mulut. Tetapi apalah hak saya untuk berkata apa-apa.” Kongsi Sutera (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian.

Baca juga: “Suami minta nak rakam aksi intim kami, aku cuba tolak namun akur, sekarang dah cerai, aku jadi takut…”