Jemaah tertipu dek janji manis buat umrah dengan Mawla keturunan Rasulullah, hangus duit RM20,000

Oleh KIM SYAZIE

Identiti seorang lelaki dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Amin’ yang kononnya mempunyai jalur keturunan Nabi Muhammad akhirnya terbongkar semalam.

Media negara ini mendedahkan penipuan dilakukan lelaki warga Perancis itu yang sebenarnya tiada langsung nasab keturunan Nabi Muhammad, bahkan bukan juga warga Maghribi seperti yang didakwa.

Ekoran pendedahan dibuat, lebih 100 jemaah umrah kini berasa tertipu selepas didakwa telah mengeluarkan ribuan ringgit untuk melaksanakan umrah bersama dengan lelaki yang mengaku keturunan Nabi Muhammad itu.

Lapor akhbar Harian Metro, para jemaah membuat bayaran yang agak tinggi kepada sebuah madrasah yang menjanjikan pelbagai janji manis termasuk melaksanakan ibadah dengan Mawla tersebut.

Hakikat yang berlaku sebaliknya apabila para jemaah hanya diberikan visa pelancong manakala ibadah umrah mereka yang seharusnya dilengkapi dengan jadual program, hanya umrah DIY (secara sendiri) saja.

Untuk rekod, penganjur umrah berkenaan adalah madrasah sama yang mempromosikan ‘Mawla’ yang didakwa keturunan Rasulullah SAW.

Keselesaan hotel serta penerbangan yang dijanjikan turut lebur kononnya harga penginapan di tanah suci melambung naik dan meminta wang tambahan daripada jemaah.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Laila, 50-an berkata, dia bersama suami setuju untuk mengambil pakej umrah berkenaan yang dianjurkan sebuah madrasah kerana tertarik dengan penyertaan ‘Mawla’ terbabit.

Menurutnya, dia serta jemaah lain turut merasa tertipu kerana mereka pergi menggunakan visa pelancong dan bukannya visa umrah.

“Siapa yang tidak mahu untuk menunaikan umrah bersama-sama keturunan Rasulullah SAW, pastinya ibadah umrah berkenaan akan lebih bernilai daripada pakej umrah yang lain.

“Untuk tujuan itu, saya serta suami mengambil pakej A bernilai RM8,000 seorang dan wang itu dimasukkan kepada akaun sebuah madrasah.

“Seminggu sebelum bertolak ke tanah suci, saya dihubungi oleh seorang ahli khidmat madrasah untuk memasukkan wang RM500 lagi kepada akaun yang diminta,” katanya.

Laila berkata, dia bertanyakan berhubung penambahan bayaran berkenaan dan mereka menyatakan berlaku kenaikan harga penginapan hotel di tanah suci.

“Sebelum pergi, ahli khidmat ini menyatakan bahawa kami (semua jemaah) akan mempunyai banyak masa dengan ‘Mawla’ sedangkan hakikat sebenarnya tidak begitu.

“Kami hanya ada beberapa minit saja dengan lelaki berkenaan sepanjang umrah terbabit dan saya sangat terkilan dengan perjalanan umrah umpama umrah DIY saja,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Khatijah, 50-an, berkata, dia kesal dengan penganjur yang melepaskan jemaah begitu saja tanpa bimbingan mutawif sepanjang berada di tanah suci.

Katanya, dengan bayaran lebih RM20,000, dia sepatutnya mendapat kemudahan yang lebih baik seperti ibadah umrah sebelum ini.

“Ini kali ketiga saya sertai umrah, tetapi saya rasa seperti ditipu. Ada ahli keluarga yang sakit pun, penganjur seperti tidak peduli. Saya harap tidak ada mangsa lagi selepas ini. Nasihat saya, pilihlah agensi yang sudah diketahui umum bagus dalam menyediakan pakej umrah,” katanya.

Sementara itu sumber keselamatan berkata, penganjur akan memberikan alasan kononnya berlaku kenaikan harga hotel yang tinggi mengakibatkan pakej yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan.

Berdasarkan maklumat, katanya, terdapat 230 orang mangsa daripada pakej umrah ini yang membabitkan jumlah keseluruhan sekitar RM4.05 juta.

Baca juga: Cuba sekali mesti nak lagi! Ini resipi daging dendeng ala mak mentua yang pernah viral dulu