Hina baju tradisional orang Iban, siap samakan dengan kain buruk, suami ‘influencer’ didenda RM10k

Oleh MAISARAH AISYA

Tiga tahun lepas suami kepada pempengaruh berasal dari Korea Selatan Maryam Younarae dilihat menyamakan busana ‘ngepa’ indu dengan kain buruk.

Ryzal Duriankimchi yang juga pempengaruh itu melabel ‘tango’ sebagai kain alas peti televisyen, ‘kain kebat atau kain karap’ sebagai kain buruk dan ‘ngepan Iban’ sebagai langsir.

Berikutan komen dikeluarkan Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, dia didenda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Miri, Sarawak lapor Kosmo! Online.

Menerusi satu kenyataan, Hakim Azreena Aziz berkata hukuman tersebut dikenakan ke atas Ryzal selepas meneliti kesemua aspek.

Ini termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira kepentingan awam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fillanny Siji dan dibantu TPR Ahmad Ihsan Jalalludin.

Ryzal didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (Akta 588).

Dalam pada itu, peguam bela Firdaus Morshidi yang mewakili pemilik Ryzal, memohon agar hukuman ke atas anak guamnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwa memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai peringatan atau pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.

Setiap pakaian tradisional itu perlu dihormati tanpa mengira kaum, agama dan bangsa dan tindakan Ryzal itu dilihat memberi kesan kepada pemakainya.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku dalam hantaran di Facebook dan laporan polis dibuat kepada Ryzal pada 27 Mei 2021.

Baca juga: Jemaah tertipu dek janji manis buat umrah dengan Mawla keturunan Rasulullah, hangus duit RM20,000