Baru tahu punca Hidayah tolak wang RM75,000 dari Ali Puteh, ini penjelasan peguam

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak sensasi, Ali Puteh kembali mencuri tumpuan ramai selepas hadir ke rumah kakak iparnya iaitu Hidayah dengan membawa wang tunai sejumlah RM75,000.

Wang tuntutan itu perlu dibayar Ali selepas kalah dalam kes saman fitnah terhadap Hidayah seperti ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2022.

Dalam pertemuan yang turut dilakukan secara langsung di media sosial itu, Hidayah bagaimanapun enggan menerima bayaran dan meminta Ali menghubungi peguam.

Tindakan pemilik nama sebenar Siti Nurhidayah Mohd Ali itu telah menimbulkan satu persoalan sehinggakan orang ramai mula membuat spekulasi negatif terhadapnya.

Menepis spekulasi, Hidayah kemudian memuat naik satu rakaman di mana peguam yang mewakilinya membuat penjelasan mengenai penolakan bayaran dibuat Ali itu.

Peguam yang dikenali sebagai Ibrahim itu berkata, pembayaran duit tunai berjumlah RM75,000 daripada Ali Puteh tersebut terpaksa ditolak atas faktor keselamatan.

“Hidayah memaklumkan kepada saya bahawa Ali telah datang ke rumahnya dengan membawa sejumlah wang berjumlah RM75,000. Hidayah meminta pendapat sama ada dia boleh mengambil atau tidak wang tersebut.

“Daripada segi undang-undang memang tiada masalah untuk Ali membayar wang berjumlah RM75,000 tersebut secara tunai. Tetapi saya mengambil kira pada waktu itu, sejumlah wang besar akan dibawa masuk ke dalam rumah.

“Ditambah pula, (penyerahan wang) dilakukan secara siaran langsung. Jadi orang akan tahu bahawa pada malam tersebut, ada sejumlah wang yang besar di dalam rumahnya,” katanya.

Justeru itu, Ibrahim memberikan cadangan kepada Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan untuk membuat bayaran secara pindahan wang.

Dalam video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya itu, Hidayah terlihat hanya duduk di samping peguamnya tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Atas faktor keselamatan, saya telah bercakap dengan Ali supaya wang tersebut dibawa ke firma guaman atau lebih mudah dimasukkan sahaja ke dalam akaun bank (milik Hidayah).

“Semua atas faktor keselamatan. Hidayah tiada niat lain untuk menolak wang tersebut.” Jelas Ibrahim lagi.

Baca juga: Duduk flat selera ‘teres’, penghuni dikecam ubah suai rumah melampau, siap pasang pagar jeriji