Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Perkara ini bermakna, Muhammad Adlan yang menghilangkan diri sejak Mei tahun lalu itu perlu segera kembali ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun tidak memaklumkan jumlah pertuduhan yang bakal dibuat terhadap ahli perniagaan berusia 48 tahun itu, lapor Malaysia Gazette.
Adlan adalah antara individu yang dikehendaki tampil ke SPRM untuk tujuan pendakwaan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
“Sebenarnya siasatan sudah dilengkapkan dan bersedia untuk membuat pertuduhan. Namun beliau masih gagal dikesan dan belum pulang ke Malaysia.
“Saya tidak ingat berapa pertuduhan yang akan dibuat ke atas beliau. Tetapi kalau tak silap, ia membabitkan beberapa dakwaan mengenai jenayah CBT,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Terdahulu, SPRM telah mengesan dan cuba menghubungi dua lelaki tempatan yang juga seorang ahli perniagaan dan peguam secara terus dan menerusi peguam masing-masing bagi membantu siasatan kes terbabit.
Dua individu itu bagaimanapun enggan tampil memberikan kerjasama dan semakan rekod oleh SPRM juga mendapati mereka sudah meninggalkan negara ini, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei tahun lalu.
Kemudian pada Oktober tahun yang sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan pihaknya telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Interpol.
Penyerahan dokumen tersebut adalah untuk melengkapkan permohonan bagi Notis Merah terhadap menantu Mahiaddin itu dan seorang lagi peguam yang berusia 69 tahun iaitu Mansoor Saat.
Baca juga: Jemaah tertipu dek janji manis buat umrah dengan Mawla keturunan Rasulullah, hangus duit RM20,000