Beli rumah harga RM35,000, lelaki terkejut ‘loan’ masih berbaki RM23,000 lepas 17 tahun konsisten bayar

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki terkejut apabila rumah bernilai RM35,000 yang dibelinya berbelas tahun dahulu masih mempunyai baki yang besar biarpun dia konsisten membuat pembayaran setiap tahun.

Menurut perkongsian yang tular, lelaki itu berkata dia membuat pembayaran RM200 setiap bulan selama 17 tahun yang mana jika mengikut perkiraan, hutangnya kepada pihak bank sudah pun selesai.

Namun jangkaannya jauh meleset apabila dia masih mempunyai baki sekitar RM23,271. 

Ini bermakna, selama 17 tahun itu dia membayar pinjaman rumah tidak sampai RM12,000.

Namun jika dijumlahkan, selama 17 tahun ini dia sudah pun membayar sekitar RM40,800.

Lelaki itu juga memaklumkan telah mengeluarkan RM11,000 daripada dana persaraan KWSP untuk menyumbang kepada pembayaran balik pinjaman perumahan.

Bagaimanapun, harapannya untuk menyelesaikan hutang rumah telah mengecewakannya selepas mendapat tahu dia masih mempunyai baki yang perlu diselesaikan.

“Rumah beli harga RM35,000, bayar bulan-bulan RM200 bayar dah 17 tahun. 

“Lepas itu buat pengeluaran KWSP RM11,000 dan pergi bayar lagi rumah. 

“Tapi bila pergi semak dekat bank pelik baki banyak lagi. Kalau kira-kira dah habis bayar dah,” tulisnya. 

Pendedahan itu memang mengejutkan ramai namun mereka berpendapat bahawa caj faedah tidak dapat dielakkan, dengan sebahagian besar pembayaran diperuntukkan untuk faedah pada tahun-tahun awal tempoh pinjaman.

Seorang pengguna Facebook menjelaskan, “Begitulah cara pinjaman rumah berfungsi, dengan separuh daripada pembayaran dibuat untuk faedah sahaja.”

Selain itu, merek turut menitipkan nasihat agar meningkatkan bayaran bulanan atau membuat bayaran tambahan untuk mempercepatkan proses penyelesaian.

Pendedahan ini sedikit sebanyak membuka ruang perbincangan dalam kalangan pembeli supaya bersedia dengan ilmu dan kewangan dalam urusan pinjaman perumahan.

Baca juga: Buat dekat rumah lagi senang! Ini cara nak sediakan telur masin ‘homemade’