Pakar ekonomi Bank Dunia bersuara, dedah punca sebenar penurunan Ringgit Malaysia

Oleh WAN SITI AMINAH

Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Apurva Sanghi memaklumkan dua faktor utama penurunan Ringgit adalah kekurangan daya saing dan juga skandal 1MDB.

Menurutnya, kekurangan daya saing ini sebenarnya berkait rapat dengan ketiadaan pembaharuan ketara dilakukan oleh negara sejak Krisis Kewangan Asia 1998 (AFC).

Jelas Apurva, negara Asia lain yang turut terjejas dengan AFC berjaya bangkit dari kemerosotan kerana berani menanggung risiko atas pembaharuan dilakukan mereka.

Perkara tersebut didedahkan oleh Apurva Sanghi menerusi satu hantaran tular yang telah dimuat naik di akaun media sosial X (Twitter) miliknya, baru-baru ini.

“Ringgit Malaysia mulanya lebih kukuh daripada Baht Thai dan Won Korea Selatan. Tetapi sekarang tidak lagi kerana Thailand dan Korea adalah dua negara yang boleh dikatakan paling banyak melakukan pembaharuan selepas AFC.

“Mereka lebih memilih untuk berdepan dengan ‘kesakitan’ jangka masa pendek bagi mendapatkan keuntungan pada jangka masa yang panjang. Sayangnya, Malaysia tidak bertindak sedemikian,” katanya dalam hantaran tersebut.

Tambah Apurva, penurunan pelaburan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak AFC berlaku turut mendorong kepada masalah prestasi Ringgit.

Mengulas lanjut Apurva memberitahu, masalah kian meruncing akibat skandal 1MDB (1Malaysia Development Bhd) di mana ia menjejaskan Ringgit dengan begitu parah.

“Lebihan fiskal terakhir Malaysia adalah ketika pra-AFC. (Peratusan) Eksport berbanding KDNK juga menguncup daripada 120 peratus pada 1999 kepada 68 peratus pada 2023,” dedahnya.

Dalam perkongsian tersebut, Apurva turut menyatakan satu perumpamaan antara masalah penurunan Ringgit Malaysia dengan penurunan berat badan manusia.

“Jika anda ingin menurunkan berat badan, mulakan dengan tabiat yang baik. Maka, berat akan turun sendiri. Begitu juga dengan Ringgit Malaysia yang merosot akibat ‘tabiat’ daya saing Malaysia.

“Jika anda menjaga kemerosotan ini, seperti mana penggubal dasar cuba lakukan. Maka Ringgit Malaysia juga akan ‘menguruskan’ dirinya sendiri.” Selorohnya.

Baca juga: Lelaki nekad bawa duit syiling dalam bag plastik pergi kedai motor, kira duit satu persatu demi skuter idaman RM5,800