Seorang bekas tukang cuci tidak menyangka mendapat ‘durian runtuh’ apabila bergelar jutawan ketika usianya sudah pun mencecah 61 tahun.
Mohd Nazri Abd Wazir berjaya menjadi jutawan segera selepas diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-96.
Mohd Nazri yang berasal dari Parit, berkata dia tidak menyangka akan memenangi RM1 juta hasil usahanya menyimpan secara konsisten dalam BSN SSP sejak 2003.
Beliau berkata, niat asalnya menyimpan hanyalah untuk kegunaan sewaktu terdesak dan tidak pernah menyangka akan dipilih sebagai pemenang.
“Mula-mula terperanjat apabila menerima panggilan daripada pegawai BSN pada 5 Februari lalu. Nasib baik tak pengsan.
“Saya cuma percaya selepas pergi ke BSN Cawangan Parit untuk membuat pengesahan,” katanya selepas menerima replika cek yang diserahkan oleh Pengarah BSN Perak, Mazlan Mat Jalil di sini, hari ini.
Ditanya mengenai perancangannya terhadap wang dimenangi itu, Mohd Nazri berkata, ia akan digunakan untuk membawa ibunya yang berusia 84 tahun mengerjakan haji selain menampung perbelanjaan harian dirinya yang masih bujang.
Sementara itu, pemenang cabutan ulang tahun BSN ke-50, Mohd Nasir Abdullah, 57, berkata dia bertuah kerana memenangi RM50,000 selepas hanya enam bulan menyertai BSN SSP.
“Saya mula menyimpan sejak bujang lagi, namun sertai cabutan ini Jun tahun lalu. Tak sangka saya boleh menang secepat ini.
“Wang ini saya akan manfaatkan untuk tiga anak yang masih belajar,” kata penjawat awam yang berasal dari Pasir Salak itu.
Baca juga: Pakar ekonomi Bank Dunia bersuara, dedah punca sebenar penurunan Ringgit Malaysia