Baru kahwin tujuh bulan lalu, wanita hamil ditangkap khalwat bersama lelaki bujang

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita yang baru berkahwin tujuh bulan lalu tergamak berkhalwat dengan lelaki bujang di rumah sewa miliknya ketika ketiadaan suami.

Lebih mengejutkan, wanita berusia 27 tahun yang disyaki berkhalwat di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech), Kedah itu rupanya sedang mengandung lima bulan.

Wanita hamil dan lelaki bujang terbabit kemudian ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) pada jam 12.06 tengah malam Sabtu.

Difahamkan, anggota penguat kuasa PADK mengambil masa hampir enam minit bagi mengetuk pintu dan memberi salam sebelum akhirnya dibuka oleh wanita terbabit.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pihaknya membuat pemeriksaan selepas dibenarkan masuk ke dalam kediaman itu.

Anwar bersama empat penguat kuasa lain kemudian berjaya menemui seorang lelaki dipercayai berstatus bujang di tingkat atas kediaman berkenaan, lapor Sinar Harian.

“Hasil siasatan menemukan seorang lelaki di sebuah bilik di tingkat atas rumah terbabit dan hasil soal siasat mendapati mereka bukanlah suami isteri atau mahram.

“Ia menimbulkan syak berlakunya khalwat di dalam rumah itu dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Sinar Harian.

Siasatan lanjut mendapati, wanita yang bekerja di Kulim itu baharu berkahwin tujuh bulan manakala suaminya pula tinggal berjauhan berikutan bertugas di Ipoh, Perak.

Menurut Anwar, wanita terbabit difahamkan sudah berkenalan dengan lelaki bujang berkenaan selama setahun disebabkan mereka bekerja di dalam syarikat yang sama.

“Ketika ditahan, lelaki berusia 28 tahun itu memberi alasan hanya singgah sekejap di rumah wanita berkenaan, namun pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal di situ.

“(Ini) berdasarkan penemuan pakaiannya yang banyak di rumah terbabit,” Jelas Anwar yang memaklumkan mereka berdua kemudian dibawa ke balai polis berhampiran.

Laporan serta tangkapan dibuat sebelum keterangan mereka berdua diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Baca juga: Bekas tukang cuci dapat durian runtuh, bergelar jutawan segera di usia 61 tahun