Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri Malaysia tertua yang turut memegang rekod sebagai bekas ketua negara atau kerajaan paling tua di dunia.
Sebelum meletak jawatan pada 2022, Dr Mahathir pernah dilantik sebagai ketua negara sebanyak dua kali iaitu Perdana Menteri ke-4 (1981-2003) dan Perdana Menteri ke-7 (2018-2020).
Tokoh politik yang mencecah usia 99 tahun itu cukup disegani sehingga ke peringkat antarabangsa kerana kelantangan suara dan kecekapannya sebagai ketua negara.
Dr Mahathir juga dikagumi ramai kerana berjaya mengekalkan kesihatan dan terlihat aktif menjalankan pelbagai aktiviti terutamanya di pentas politik meskipun sudah lanjut usia.
Bahkan selama dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Januari lalu, Dr Mahathir masih enggan duduk diam dan sibuk menulis serta membaca akhbar berdasarkan perkongsian di akaun X miliknya.
Mengundang tanda tanya, Dr Mahathir rupanya pernah berkongsi petua amalannya untuk panjang umur dan kekal sihat menerusi beberapa program yang dihadirinya sebelum ini, lapor Harian Metro.
“Orang selalu bertanya, bagaimanakah saya boleh mempu hidup sehingga sekarang. Jawapannya mudah sahaja. Jangan makan berlebihan atau jangan makan terlalu banyak.
“Ini sesuatu yang amat sukar bagi saya. Tetapi saya cuba juga untuk tidak makan terlalu banyak. Saya tidak merokok dan juga tidak minum minuman keras.” Katanya memetik laporan Harian Metro.
Jelas Dr Mahathir dalam program berasingan, mereka yang mahu mempunyai jangka hayat panjang seharusnya berpegang kepada prinsip ‘makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan’.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengekalkan staminanya dengan aktiviti senaman seperti berjalan di atas treadmill atau sawat injak dan turut berbasikal sekali-sekala.
“Saya berjaya mengekalkan berat badan yang sama sejak 30 atau 40 tahun lalu. Ia tidak berubah. Saya tidak makan banyak dan saya tidak makan berlebihan apabila rasa sedap.” Akuinya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman X pada bulan Oktober 2021, Dr Mahathir juga mengakui dirinya tidak memakan ikan semenjak kecil hasil didikan daripada ibunya.
Baca juga: “Aku ni sangat berjimat sekali dia senang je suruh belanja makan, padahal anak dia semua pakai iPad”