Ketidakhadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika pembukaan sidang Parlimen semalam menjadi buah mulut ramai.
Ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah untuk pertama kalinya, hanya kerusi presiden Pas sahaja yang dilihat kosong.
Disebabkan ahli Parlimen Marang itu mempunyai rekod tidak cantik sepanjang persidangan Parlimen sebelum ini, ramai yang mempersoal mengapa beliau ponteng pada hari pertama pembukaan Parlimen.
Ada juga yang melabelnya sebagai derhaka kerana tidak hadir ketika Agong baharu menyampaikan titah pertama baginda.
Begitupun, ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman tampil menjelaskan mengenai ketidakhadiran Abdul Hadi ketika sidang Parlimen semalam.
Menurutnya, kesihatan Abdul Hadi masih tidak mengizinkan dan dalam tempoh pemulihan.
Syahir juga memaklumkan bahawa Presiden Pas itu masih perlu melakukan rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu.
Katanya, surat dan sijil cuti sakit sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Kesihatan Tuan Guru (TG) tidak mengizinkan, masih dalam tempoh pemulihan. Ada beberapa rawatan susulan di Terengganu.
“Surat dan sijil cuti sakit (MC) hospital sudah dihantar kepada Tan Sri Speaker semalam, 25 Februari,” katanya memetik Harian Metro.
Untuk rekod Abdul Hadi hanya menghadiri 33 daripada 103 sesi Parlimen sejak 26 Julai 2021, demikian menurut data yang dikumpulkan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) melalui inisiatif MyMP.
Beliau kerap menjadi perhatian pengguna media sosial kerana dikatakan antara ahli Parlimen yang kerap ponteng dan ‘liat’ datang ke Parlimen.
Baca juga: Tak sangka penurunan Ringgit ada ‘nilai tambah’, ini pengiktirafan diraih Malaysia