Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar Ahli Parlimen berhenti ‘bermain politik’, semalam ditujukan kepada Kerajaan Persekutuan.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Afnan berkata bahawa semua pihak di dalam Kerajaan Persekutuan perlu mengambil serius teguran Sultan Ibrahim dengan menghentikan permainan politik dalam pentadbiran.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar itu turut menyifatkan beberapa keputusan diambil kerajaan mengenai kewangan negara baru-baru ini sebenarnya bermotifkan politik semata-mata.
Perkara ini termasuklah keperluan Ahli Parlimen dari pembangkang untuk membuat rundingan dengan kerajaan terlebih dahulu bagi mendapatkan jumlah peruntukan yang mereka mahukan.
“Memang sepatutnya semua pihak tidak ‘bermain politik’ di dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan seperti titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Parlimen.
“Hentikan ‘bermain politik’ dengan Ahli Parlimen pembangkang dan menyekat peruntukan. Kalau nak dapat peruntukan, kena sokong PMX terlebih dahulu seperti yang dilakukan oleh beberapa orang sebelum ini,” dakwanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah meletakkan syarat ketat atau menghalang peruntukan untuk disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Tiada syarat tambahan termasuk menyokong Perdana Menteri, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mengingatkan bahawa sesi rundingan berhubung peruntukan ini telah dilaksanakan ketika ‘pihak pembangkang’ mentadbir kerajaan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam Titah Dirajanya mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa baginda tidak akan melayan sebarang permintaan yang bertujuan untuk menggugat kestabilan politik negara.
Baginda turut menasihati semua Ahli Parlimen supaya menerima kenyataan dan berhenti bermain politik selain menunggu hingga pilihan raya yang akan datang untuk meneruskan agenda mereka.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sedemikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, semalam.
Sementara itu, Afnan dalam hantaran yang sama turut mendakwa terdapat arahan ‘tidak bertulis’ menghalang kakitangan agensi persekutuan di negeri pembangkang untuk menghadiri majlis rasmi atau mesyuarat dengan kerajaan negeri.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu turut melontarkan tuduhan bahawa Ahli Parlimen pembangkang disekat memasuki sekolah dan pusat pengajian sedangkan wakil rakyat kerajaan ‘bebas keluar masuk’ di institusi pendidikan tersebut.
Menurut Afnan lagi, Kerajaan Madani pimpinan Anwar tidak akan menghadapi masalah untuk kekal memerintah sekiranya isu-isu utama dan kritikal dapat segera diatasi.
Baca juga: Ingatkan ponteng Parlimen, terjawab akhirnya kenapa tak nampak bayang Hadi Awang masa titah Agong