Negara baru-baru ini dikejutkan dengan penularan satu rakaman memaparkan seorang pemandu ditarik keluar dari kereta sebelum diiikat dan dipukul hingga maut.
Sangat mengerikan, lima penghantar makanan yang didakwa melakukan perbuatan terbabit akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, pagi tadi.
Lima lelaki yang dituduh membunuh itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi, lapor Harian Metro.
Mereka adalah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40.
Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3 Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pada 9.54 malam, 20 Februari lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan disebat sebanyak 12 kali jika tidak dihukum mati.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di Mahkamah Majistret hari ini memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Difahamkan, pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz.
Tiada jaminan diberikan terhadap kesemua tertuduh dan mahkamah turut menetapkan tarikh 25 April depan untuk status dokumen forensik, kimia serta bedah siasat.
Terdahulu, tular satu rakaman yang memperlihatkan seorang pemandu kereta ditarik keluar oleh orang awam sebelum tangannya diikat dan dipukul hingga ditemui maut.
Kejadian tragis tersebut berlaku selepas mangsa yang memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga terlibat dalam kemalangan dengan seorang penghantar makanan.
Sejurus insiden berlaku, mangsa telah dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.
Baca juga: “Saya tak halalkan siapa guna nama untuk menipu” – Alif Satar berang gambar disunting beli ‘produk’