Siapa sangka di sebalik persembahan yang cukup bertenaga, penyanyi rock lagenda iaitu Datuk Awie rupanya menyimpan seribu rahsia mengenai penyakit dialaminya.
Akhirnya membuat pendedahan dalam satu temu bual bersama sebuah stesen radio, Awie mengakui dirinya disahkan menghidap kanser buah pinggang empat tahun lalu.
Menurut vokalis kumpulan Wings itu, hanya keluarga dan rakan terdekatnya sahaja yang mengetahui penyakit dihadapinya berikutan tidak selesa berkongsi hal peribadi.
Awie bagaimanapun memanjatkan kesyukuran kerana penyakit itu dikesan awal dan ketumbuhan pada buah pinggangnya juga berjaya dibuang melalui pembedahan.
“Saya ada masalah di bahagian buah pinggang. Doktor mendapati ada ketumbuhan dan mengesahkan ia adalah kanser. Tetapi Alhamdulillah, dapat dikesan lebih awal.
“Jadi ketumbuhan tersebut berjaya dibuang. Ketika diberitahu mengenainya, doktor macam tergagap-gagap. Katanya ada sesuatu yang mencurigakan ketika diperiksa.
“Kata doktor, salah satu buah pinggang saya perlu dibuang. Rasa seperti waktu saya sudah nak ‘habis’ apabila mendengar doktor cakap seperti itu,” jujur Awie bercerita.
Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu kemudian menyatakan keinginannya mendapatkan pandangan kedua sebelum menemui pakar lain dicadangkan doktor.
Watak utama dalam filem Sembilu itu akhirnya bersetuju menjalankan pembedahan untuk membuang ketumbuhan beberapa bulan kemudian selepas dipujuk isterinya.
“Saya termenung lama dan minta doktor memberi peluang untuk fikirkan ikhtiar lain. Doktor mengesyorkan saya untuk bertemu seorang doktor pakar di sebuah hospital.
“Ujian imbasan menunjukkan memang 95 peratus kanser. Akhirnya, saya setuju buat pembedahan buang tumor bila puas dipujuk oleh isteri, selepas empat bulan dirawat.
“Doktor terpaksa tebuk tiga lubang di perut bagi masukkan kamera kerana ia sukar dilihat ekoran tumbuh di bahagian dalam. Akhirnya tumor bersaiz 2.7 sentimeter (cm) berjaya dikeluarkan,” jelas Awie.
Mengakui bahawa kos membuang tumor sememangnya sangat tinggi, penyanyi yang berusia 56 tahun itu tetap bersedia untuk menjalani pembedahan demi keselamatannya.
Pelantun lagu Tragedi Oktober itu sekali lagi diuji apabila dijangkiti penyakit Covid-19 bersama isteri dan anaknya ketika berada dalam proses pemulihan di hospital.
“Doktor terpaksa berikan steroid sebab saya tidak boleh ambil ubat sembarangan kerana menghidap penyakit buah pingggang. Akibatnya (ubat) muka jadi bengkak.
“Saya bersama isteri dan anak pula terpaksa berkurung dalam bilik selama sembilan hari. Saya juga mengalami kesukaran untuk bernafas di mana nafas menjadi pendek.
“Doktor juga menemui tompok putih yang penuh di tekak di mana ia boleh menjadi kanser.” Dedah Awie dalam temu bual yang dimuat naik di akaun Tiktok milik stesen radio Kool 101 itu.
Awie turut berkongsi kepada penyampai radio iaitu Haiza dan Muaz bahawa keadaan kesihatannya kini semakin pulih setelah mengamalkan perubatan moden dan alternatif.
Baca juga: 3 tahun jadi anak seni, pelakon Ezzanie Jasny berjaya beli kereta mewah idamannya Mercedes Benz A180