Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyelar Ahli Parlimen Pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat pada sesi petang di hari pertama persidangan, semalam.
Rafizi menerusi satu hantaran di akaun X berkata, pihak pembangkang seharusnya menggunakan sesi persidangan tersebut untuk mempamerkan ‘kebolehan’ mereka.
Menurutnya, perkara ini termasuklah melontarkan pandangan dan cetusan idea yang memberansangkan sebagai bukti mereka memiliki kemahiran untuk mentadbir negara.
Pihak pembangkang sebaliknya cukup gemar membuang masa dalam sidang Dewan Rakyat dengan perkara yang remeh-temeh sehinggalah waktu dibenarkan berucap tamat.
Bukan itu sahaja, tindakan keluar dewan yang diamalkan oleh Ahli Parlimen terbabit sekaligus membuktikan bahawa mereka gagal ‘berfungsi’ sebagai pembangkang.
“Gunakanlah peluang itu untuk menyampaikan perkara yang substantif. Lebih-lebih jika di pihak pembangkang kerana itulah peluang untuk mempamerkan kemampuan mentadbir dengan cetusan idea yang lebih baik dari kerajaan.
“Malangnya, pembangkang selalu ketandusan idea untuk membahaskan perkara-perkara substantif. Akhirnya mereka melengahkan dan mencuri masa dewan dengan perkara remeh-temeh yang berlegar sekitar Standing Order dengan alasan ‘mengelirukan dewan’.
“Tugas Speaker Dewan menjadi lebih sukar dan tekanan darah naik sepanjang masa. Malah, amalan walk-out (keluar dewan) oleh wakil Perikatan Nasional (PN) ini akan memakan diri jika mereka tidak berjaya mempamerkan fungsi pembangkang di Parlimen,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu turut berkongsi insiden digelar pondan oleh bekas Ahli Parlimen Ketereh iaitu Tan Sri Annuar Musa ketika persidangan berjalan.
Bertujuan untuk memberikan contoh, Rafizi ketika itu tidak melakukan tindakan yang menganggu perbahasan seperti mana diamalkan pembangkang khususnya ahli PN.
“Sepanjang saya menjadi Ahli Parlimen Pembangkang, saya tak pernah bangun bagi menganggu perbahasan dengan menggunakan Standing Order (atau Peraturan Mesyuarat) seperti yang berlaku dengan pembangkang sekarang.
“Walaupun pada satu ketika, bekas Ahli Parlimen Ketereh iaitu Tan Sri Annuar Musa mengejek saya ‘Ahli Parlimen Pondan, eyh salah Pandan’ konon untuk buat lawak. (Padahal) terang-terang melanggar Peraturan Mesyuarat.
“Saya hanya menjawab, ‘umur Ketereh tidak jauh berbeza dengan umur ayah saya dan rakyat (sedang) melihat akhlaknya pada usia itu.” Ulas Rafizi dalam hantaran yang sama.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan slot diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sesi tersebut, Anwar menyampaikan ucapan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong lalu (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim).
Baca juga: Dewan rakyat kecoh! Wan Saiful dakwa ditawar RM1.7 juta untuk sokong kerajaan