Pisang Goreng Salut Gula merupakan salah satu sajian tradisi yang sangat popular dan diminati terutamanya di kalangan generasi ‘veteran’ di negara kita.
Mungkin agak tenggelam selari dengan peredaran masa, hidangan ini sebenarnya tidak kalah sedapnya dengan pisang goreng karamel yang digilai masyarakat terkini.
Sangat mudah untuk disediakan, mereka yang sudah mulai bosan dengan menu di pasaran bolehlah mencuba resepi oleh pengguna Facebook bernama Nur Aynee ini.
Hanya memerlukan tiga bahan iaitu pisang, gula dan garam, mereka yang berminat dengan resepi ini tidak perlu bersusah-payah untuk membancuh adunan tepung.
Hal ini kerana anda cuma perlu menggoreng pisang sehingga garing, namun jangan pula sampai ia hangus sebelum menaburkan sedikit gula bagi membangkit selera.
Resepi Pisang Goreng Salut Gula
Bahan-bahan:
- Pisang (jenis mengikut citarasa)
- Gula pasir
- Garam
Cara-cara:
1. Mula-mula, belahkan pisang pilihan anda kepada dua bahagian. Selepas itu, rendam seketika dalam larutan garam iaitu sedikit garam yang dilarutkan dengan air.
2. Kemudian, panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Langkah seterusnya adalah menggoreng pisang yang telah direndam sehingga garing dan bertukar warna.
3. Apabila pisang sudah bertukar warna, bolehlah diangkat dan toskan supaya lebihan minyak dapat dibuang. Selepas itu, susunlah pisang anda di dalam pinggan.
4. Ketika pisang yang digoreng tadi masih panas, taburkanlah gula ke atasnya bagi melengkap sajian sebelum dihidang bersama secawan teh panas. Selamat mencuba!