Siapa sangka, seorang lelaki tergamak menolak teman wanitanya sendiri dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam selepas tiga bulan bercinta.
Wanita yang merupakan warganegara Thailand itu malangnya tidak dapat menyelamatkan dirinya sebelum ditemui maut di kondominium berkenaan, malam tadi.
Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Shah Alam iaitu Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang memaklumkan pihaknya menerima laporan pada pukul 10.02 malam.
Menurut Mohd Iqbal, saksi melihat telah berlakunya pergaduhan antara mangsa dan teman lelakinya sebelum suspek bertindak menolak wanita berkenaan dari tingkat 23.
Sangat mengerikan, wanita yang berusia 32 tahun itu kemudian terjatuh di tingkat tujuh kondominium terbabit dan dipercayai telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Tingkat tujuh kondominium tersebut merupakan kawasan riadah dikhususkan untuk penghuni kediaman di mana ia dilengkapi dengan kolam renang dan juga gimnasium.
Mohd Iqbal memberitahu, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak bekerja manakala teman lelakinya yang merupakan warga tempatan telah ditahan malam semalam.
Hasil semakan mendapati, suspek yang ditahan di tempat kejadian itu merupakan seorang pemandu lori yang mempunyai beberapa rekod jenayah, lapor Harian Metro.
“Suspek iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan di lokasi kejadian pada 10.10 malam.
“Hasil semakan mendapati lelaki itu yang juga pemandu lori mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis kanabis.
“Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025.” Katanya memetik laporan Harian Metro.
Difahamkan ketika kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sewaktu meletusnya pergaduhan antara pasangan kekasih yang dikatakan baharu bercinta sejak tiga bulan lalu.