Seorang wanita merasa buntu apabila terpaksa membesarkan anak-anaknya bersendirian selepas digantung tak bertali oleh suami selama empat tahun.
Bukan sahaja sukar menuntut fasakh, wanita itu juga tidak boleh membuat urusan rasmi memandangkan dirinya dan anak-anak berada di bawah tanggungan suami.
Memerlukan bantuan daripada mereka yang arif atau pernah mengalami masalah sama, berikut luahan wanita yang terdesak mencari jalan keluar dari penderitaanya.
“Aku seorang ibu yang berada di dalam proses untuk berpisah dengan suami. Sudah lama aku jaga anak-anak sendiri tanpa nafkah dari suami. Dia langsung tak ambil tahu mengenai hidup kami. Akhirnya aku terpaksa mengambil keputusan untuk buat tuntutan fasakh terhadap dia.
“Hampir empat tahun kami ditinggalkan. Selama itu jugalah aku berusaha keras dan bergadai simpanan bagai untuk sekolahkan anak-anak. Masalah bermula apabila anak-anak bersekolah dengan status aku yang tergantung. Aku sukar mendapatkan bantuan atau kemaskini apa-apa info berkaitan dengan sekolah anak-anak.
“Ada beberapa soalan yang aku perlukan jawapan. Apa yang sepatutnya ada untuk proses tuntutan fasakh ni? Aku sudah pun jumpa peguam. Dia minta aku untuk hadir semula ke sesi kaunseling di pejabat agama dan dapatkan laporan psikiatri. Kedua-dua tindakan ini untuk aku dapatkan sokongan permohonan fasakh.
“Bagaimana pula dengan segala bantuan yang kerajaan berikan terutamanya untuk golongan B40? Semua masuk ke dalam akaun suami. Hakikatnya tiada satu sen pun yang dia berikan kepada kami. Ada tak cara untuk aku dapatkan status bantuan itu? Mereka yang bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri boleh bagi pencerahan tak?
“Buat masa ini aku perlukan sedikit bantuan untuk kelangsungan persekolahan anak-anak. Bantuan makanan di sekolah pun tak dapat. Sebab dalam sistem, gaji suami lebih dari mampu untuk menyara anak-anak. Tetapi hakikatnya aku yang cari duit sana sini untuk kami sekeluarga.
“Aku pernah cuba tanyakan hal perkahwinan yang tergantung ini pada peguam luar. Tetapi tiada jawapan sebab mungkin aku tak bayar untuk caj konsultasi. Aku cuma mahu bertanya proses lanjutan yang perlu dilakukan kerana masalah rumahtangga ini sudah terlalu lama tidak dapat diselesaikan.
“Aku tak mahu lagi tanggung dosa sebab sudah lama tak jalankan tanggungjawab sebagai isteri. Aku buntu dan sangat memerlukan jawapan untuk setiap persoalan ini. Tolong kalau ada sesiapa yang arif di dalam bidangnya bantu beri pencerahan. Saya sudah tak mampu nak hidup dalam perkahwinan yang tergantung ini lagi.
“Sebelum itu, terima kasih semuanya. Aku ibu yang buntu.” Tulis wanita berkenaan menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di laman luahan atas talian.