Giliran Amelia Christie pula jawab dakwaan putus cinta, terima jika Sharnaaz tak mahu iyakan hubungan

Oleh KIM SYAZIE

Sejak kebelakangan ini kisah percintaan Sharnaaz dan Amelia Christie menjadi bualan ramai selepas mereka berdua didakwa saling ‘unfollow’ di Instagram.

Lebih mengejutkan, Sharnaaz yang juga bekas suami kepada Noor Nabila mengatakan dia tidak pernah mengiyakan hubungan percintaan dengan Amelia – biarpun sering kali foto mereka bersama dikongsi di media sosial.

Terbaru, pelakon Amelia Christie tampil menjawab spekulasi yang timbul. Dia sepertinya redha sahaja apabila Sharnaaz tidak mengakui hubungan antara mereka.

“Kalau dia tak pernah mengiyakan apa yang kami ada (hubungan) selama ini, saya terima saja,” kata Amelia memetik Harian Metro semalam.

Amelia ketika dihubungi Harian Metro menegaskan, dia tidak pernah menyekat atau berhenti mengikuti mana-mana akaun media sosial. 

“Terus-terang saya tidak mahu membesarkan hal yang kecil. Tapi, saya perlu jelaskan di sini saya tidak pernah ‘unfollow’ dan sekat akaun media sosial mana-mana pihak.

“Walau bagaimanapun, saya terima dengan hati terbuka dan ‘move on’. Saya akui perjalanan hidup saya masih panjang dan perlu tempuh macam-macam lagi dugaan. 

“Saya bersyukur sebab Allah hadirkan orang yang baik dalam hidup saya. Sayang dan kasih saya pada Jebat Jayden (anak Sharnaaz) ikhlas dan tulus,” katanya.

Menurut Amelia, alasan utama dia tampil memberikan penjelasan bukan untuk menjatuhkan maruah sesiapa apatah lagi bermusuh dengan mana-mana individu.

“Fokus utama saya sekarang adalah memastikan perniagaan saya berjalan lancar.  Alhamdulillah, saya gembira dengan kerjaya sebagai usahawan sekarang.

“Saya juga ingin jelaskan niat saya buat kenyataan ini bukan untuk menjatuhkan maruah sesiapa dan saya tak nak bermusuh dengan mana-mana pihak. 

“Saya cuma nak teruskan hidup dengan hal yang boleh  menggembirakan dan membuatkan fikiran saya lebih positif,” katanya.

Terdahulu, Sharnaaz dikatakan menjalin hubungan cinta dengan Amelia selepas kerap muncul berdua di beberapa acara hiburan.

Spekulasi itu semakin bertiup kencang apabila Sharnaaz bercuti ke Jepun bersama Amelia, Jebat dan bekas isterinya, Noor Nabila pada tahun lalu.

Selain bercuti, Amelia juga dikatakan beberapa kali berkunjung ke rumah Nabila sebelum ini sekali gus menguatkan lagi gosip cinta antara mereka.

Terdahulu, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun

Baca juga: Tak sangka nasi bahaya simpan dalam peti sejuk, ini 3 makanan lain mengikut kajian pakar