Sultan Selangor zahir dukacita dengan kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi

Oleh MAISARAH AISYA

Kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ menimbul rasa marah ramai pihak.

Hantaran yang dimuat naik di Facebook itu ditujukan pada alim ulama, para peguam, hakim-hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, satu surat telah dihantar kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri.

“Antara intipati surat berkenaan, Baginda menyifatkan Tan Sri Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari 2024.

“Kenyataan sinis Tan Sri Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Baginda dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.

“Ia adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Tan Sri Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini,” ujar kenyataan tersebut.

Pada masa sama, Sultan Selangor menasihatkan Abdul Hadi untuk berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar Baginda.

“Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.

“Baginda menasihatkan Tan Sri Hadi supaya beliau lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

“Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing,” tegas kenyataan tersebut.

Baca juga: Beri sokongan kepada Anwar secara sukarela, 2 MP Bersatu sedia kosongkan kerusi