“Kalau hubungi pun tak guna” – Joe Flizzow akan terus hidupkan nama Too Phat secara solo tanpa Malique

Oleh MAISARAH AISYA

Umum sedia tahu penyanyi dan komposer Malique lebih selesa berada belakang tabir manakala rakan duo Too Phat, Joe Flizzow masih aktif di hadapan skrin.

Terbaru Joe mengumumkan akan menghasilkan satu dokumentari tentang dirinya namun masih ada yang mempersoal sama ada Malique akan ada bersamanya.

Hal tersebut disangkal Joe yang mempersoal mengapa dia perlu merayu kepada Malique sedangkan dari awal dia sudah tahu jawapannya lapor Kosmo! Online.

“Mengapa saya perlu merayu kepadanya (Malique) untuk buat dokumentari ini.

“Saya tidak hubungi dia (Malique) sebab tahu tiada guna pun kalau saya cari, jawapannya tetap sama.

“Ramai lagi orang hubungi dia untuk meminta bermacam-macam perkara. Saya hormati keputusannya enggan lagi berada dalam Too Phat, jadi mengapa saya perlu tidak menghormati dia dengan merayu melakukan dokumentari ini.

“Lagipun, ini bukan cerita dia walaupun dia sebahagian daripada itu. Ini kisah saya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Masih hidupkan nama Too Phat

Pada masa sama Joe berharap tiada kontroversi tercetus apabila dia membuat keputusan untuk menghidupkan nama kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1998 sebelum masing-masing bergerak solo pada tahun 2007.

“Saya harap awak gembira. Sejujurnya, siapa yang masih menghidupkan nama Too Phat? Hanya seorang iaitu saya.

“Saya tidak nampak alasan untuk marah terhadap perkara ini. Sekurang-kurangnya saya masih memikirkan mengenai Too Phat.

“Malah, saya tidak nampak orang lain boleh melakukan perkara sama,” tambahnya.

Baca juga: Lelaki jadi bapa tiri sahabat sendiri, temui jodoh dengan wanita 20 tahun lebih tua