Badan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) melancarkan tabung baharu dengan menyasarkan jumlah kutipan sebanyak lebih RM2.2 juta.
Difahamkan, kempen dinamakan Tabung Solidariti Kes Aman Palestin itu dilancarkan bagi menampung kos urusan mahkamah melibatkan pihak pengurusan NGO terbabit.
Pengurus Projek dan Komunikasi Korporat Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, pelbagai masalah dihadapi sejak bermulanya pertuduhan terhadap NGO itu.
Antaranya adalah akaun milik Aman Palestin yang disekat sehingga mengakibatkan hampir 100 kakitangan terpaksa dicutikan dan banyak cawangan juga harus ditutup.
Sehubungan dengan itu, Aman Palestin mengambil inisiatif memohon bantuan dari masyarakat bagi menampung kos urusan mahkamah yang bernilai lebih RM2.2 juta.
Menurut Muhd Farhan, hasil kutipan akan disalurkan kepada ‘usaha’ membersihkan kembali nama baik dengan membebaskan NGO itu dari pertuduhan, lapor Berita Harian.
“RM2.2 juta jumlah ikat jamin adalah satu angka yang amat besar dan mustahil untuk disediakan dalam keadaan akaun Aman Palestin masih dibekukan. Ini belum campur kos guaman dan sebagainya.
“Namun, Aman Palestin akan tetap memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada pihak-pihak berkuasa bagi melicinkan proses perbicaraan dan kehakiman,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, tiga individu termasuk Pengerusi Aman Palestin Sdn Bhd berdepan 164 pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, penipuan dan pengubahan wang haram.
Dua jam diambil bagi membaca semua pertuduhan yang berjumlah RM39.53 juta itu di hadapan Hakim Datuk Anita Harun di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.
Perbuatan didakwa dilakukan antara 2018 hingga 2023, namun ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan tersebut dikemukakan terhadap mereka.
Tertuduh adalah CEO Aman Palestin Sdn Bhd, Awang Suffian Awang Piut; Pengerusinya, Abdullah Zaik Abdul Rahman dan ketua pengarah sebuah syarikat pelaburan iaitu Khairudin Mohd Ali.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 November tahun lalu memaklumkan, sebanyak 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan telah dibekukan.
Membabitkan jumlah RM15,868,762, pembekuan dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan syarikat NGO terbabit menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2022.
Tidak lama selepas itu, pertubuhan tersebut dilaporkan beroperasi pada skala lebih kecil selepas hampir tiga bulan akaun syarikat dibekukan oleh agensi pencegahan rasuah.
Berkuat kuasa pada 1 Februari lalu, organisasi kemanusiaan yang mula beroperasi sejak 2004 itu memutuskan untuk menutup 13 dari 20 cawangan di seluruh negara.
Kesan pembekuan akaun berkenaan turut menyebabkan hampir 100 daripada 150 kakitangan Aman Palestin diminta bercuti tanpa gaji sehingga dimaklumkan kelak.