Konflik di antara Ali Puteh dan kakak iparnya, Hidayah akhirnya menemui titik noktah selepas pelawak itu melunaskan hutangnya yang berjumlah RM72,490, semalam.
Wang tuntutan itu perlu dibayar Ali selepas kalah dalam kes saman fitnah terhadap Hidayah seperti ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2022.
Menerusi satu hantaran di laman TikTok, Ali sempat memohon maaf atas kelewatan membuat pembayaran kerana agak sibuk menguruskan perniagaan sambal miliknya.
Pelawak berusia 35 tahun itu memaklumkan pembayaran hutang tersebut dilakukan selepas mendapatkan maklumat perbankan milik kakak iparnya daripada peguam.
Dalam hantaran berbentuk video tersebut, pemilik nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan itu turut memaparkan 27 keping resit sebagai bukti pembayaran.
Jelasnya, wang bernilai RM72,490 tersebut telah dikurangkan dari jumlah tuntutan asal kerana kakak iparnya juga ada berhutang dengan pihaknya sebanyak RM3,000.
Pada masa yang sama, adik kepada pelawak terkenal iaitu Abam Bocey itu berharap tiada lagi isu berbangkit mengenai tuntutan hutang dari pihak Hidayah selepas ini.
“Hari ini (Sabtu) saya sudah selesaikan apa yang tertunggak. Saya baru balik dari bank. Hari ini baru ada kelapangan. Bank tutup pula. Jadi terpaksa guna CDM (mesin deposit tunai).
“Balu (Hidayah) juga ada sangkut hutang dengan saya RM3,000. Peguam saya kata kontrakan (tolak) sahaja dengan jumlah pembayaran ini. Jadi saya bayar RM72,490.
“Selepas ini, harap tiada lagi sebarang dakwaan atau isu yang berpanjangan seperti ini. Maaf lambat sedikit sebab ada kekangan kerja,” katanya di dalam video tersebut.
Terdahulu, Ali telah mengejutkan banyak pihak apabila hadir ke rumah Hidayah pada 20 Februari lalu dengan membawa wang tunai RM75,000 untuk membayar hutang.
Berikutan pertemuan itu dibuat secara langsung di media sosial, Hidayah menerima nasihat peguamnya untuk menolak pembayaran tersebut di atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Ali yang menyesali tindakannya itu bertekad menjadikan kejadian lalu sebagai pengajaran dan kini akan memberi tumpuan kepada perniagaan sambalnya.
“Saya ambil ini sebagai satu pengajaran buat diri sendiri dan semua. Selepas ini, fokus kacau sambal.” Ulasnya mengakhiri video yang dimuat naik di akaun @aliputeh89 itu.