“Ipar sibuk sindir aku pasal zuriat, rahsia suami pula yang pecah bila mentua jumpa bomoh”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hampir lima tahun melayari bahtera rumah tangga, seorang wanita merasa bersalah kerana belum mampu menghadiahkan seorang cucu kepada mentua.

Bergelar menantu kesayangan, episod gelap wanita itu bagaimanapun bermula apabila kakak ipar dan birasnya hadir mengeruhkan hubungan yang terjalin selama ini.

Walaupun reda menerima ketentuan Tuhan, hatinya mula terguris apabila kakak ipar dan birasnya itu tidak berhenti menyindir mengenai ‘kegagalannya’ mendapatkan anak.

Tanpa mereka tahu, sindiran dilontarkan itu sebenarnya terpaksa ditelan oleh wanita itu demi menjaga maruah suami yang selama ini tersimpan rapi di genggamannya.

“Mereka sering berkomplot hanya untuk memalukan aku di hadapan ahli keluarga dengan membangkitkan soal zuriat. Namun rahsia kami tidak lama dapat disimpan.

“Ketika itu, usia perkahwinan kami baru mencecah dua tahun. Sepandai-pandai kami menutup rahsia, akhirnya terbongkar jua,” dedah wanita yang bernama Suhaila itu.

Mana tidaknya, selera makan Suhaila mula bertambah secara tiba-tiba selain mengalami mual dan pening akibat pendarahan yang amat melampau ketika datang bulan.

Mentua yang terlalu menginginkan cucu itu sudah tentu menyangka menantunya telah mengeluarkan tanda-tanda berbadan dua walaupun sedang mengalami haid.

Sifat ibu mentua Suhaila yang lebih percayakan bomoh, dukun dan bidan daripada doktor menyebabkan dirinya dibawa berjumpa pengamal perubatan alternatif itu.

Secara tidak langsung, rahsia rumah tangga yang sekian lama disimpan Suhaila akhirnya terbongkar sebaik sahaja mentuanya mengupah bidan untuk mengurut badannya.

“Ya! Aku masih lagi seorang perempuan suci sehingga kini, dan masih belum disentuh suami. Begitulah keadaanku sepanjang lima tahun ini.

“Sudah beribu kali aku mencuba, sehingga suami merajuk, tak tidur sebilik seminggu. Katanya aku seperti memaksa, sedangkan dia belum bersedia.” Luah Suhaila.

Selepas rahsia terbongkar, ibu mentua Suhaila membawa mereka berdua berjumpa bomoh dan dukun di pelbagai negeri bagi mengubati ‘masalah’ dihadapi suaminya itu.

Meskipun masalah mereka tiada penghujungnya, namun suami Suhaila memutuskan untuk berpindah keluar dari rumah mentua agar dapat hidup aman tanpa campur tangan orang lain.

Baca juga: “Dia jual kek tak apa, aku kerja ‘part time security’ pun jadi kes, siap nak lapor HR katanya salah”