Sikap baik hati seorang tuan rumah yang tidak mengenakan bayaran selama dua bulan kepada para penyewanya, menuai perhatian ramai.
Melalui sebuah hantaran di Facebook, pengguna Azniea Khamis mendakwa, tuan rumah baik hati yang memberi sewa percuma itu adalah seorang Datin yang memiliki berpuluh buah rumah sewa.
Katanya, setiap kali musim perayaan, Datin yang tidak didedahkan namanya itu pasti akan memberi pengecualian kepada para penyewa.
Namun untuk tahun ini, Datin itu tidak mengenakan bayaran selama dua bulan bagi memberi laluan kepada ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah anak dan disusuli sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
“Tuan rumah dari syurga, setiap kali perayaan setiap kali puasa raya. Dia akan kecualikan bayaran sewa rumah penyewa-penyewa dia, bukan satu ya rumah sewa dia.
“Dia seorang Datin yang ‘low profile’, humble (rendah diri). Siapa dia? Biarlah rahsia,” tulis hantaran itu.
Turut disertakan bersama hantaran itu ialah tangkap layar hantaran di WhatsApp status pemilik rumah tersebut.
“Kepada semua penyewa-penyewa rumah dan bilik saya, untuk bulan ini dan bulan depan tiada dikenakan bayaran sewa bagi memberi laluan awak semua buat persiapan anak naik sekolah dan raya.
“Semoga Allah permudahkan urusan kita semua,” tulisnya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna memuji sikap pemurah hati pemilik rumah berkenaan, selain berdoa untuk berjumpa dengan pemilik rumah yang baik hati seperti itu.
Baca juga: “Ipar sibuk sindir aku pasal zuriat, rahsia suami pula yang pecah bila mentua jumpa bomoh”