Nafi bercinta dengan Merqeen, Ameera Khan mahu jodoh yang boleh bimbing ke arah kebaikan

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak mahu dipertemukan jodoh dengan pasangan yang baik dan membawa diri ke arah kebaikan.

Hal tersebut juga didambakan adik usahawan dan pelakon Neelofa, Ameera Khan yang tak putus berdoa untuk bertemu dengan jodoh baik.

Sebelum ini, Ameera menafikan hubungan dengan Merqeen dan menyatakan bahawa mereka hanya berteman sahaja.

Menurut Kosmo! Online, Ameera menerusi Instastory mengharapkan dia mendapat jodoh yang baik.

“Saya sentiada berdoa agar Allah mengirimkan seorang suami yang terbaik untuk saya di mata-Nya.

“Selain itu, saya juga mahu seseorang yang menghormati dan menghargai diri ini serta keluarga selain mampu membimbing saya mendekati Tuhan,” katanya dalam InstaStory.

Jawapan tersebut diberikan kepada netizen yang bertanya ciri lelaki idamannya di media sosial.

“Saya boleh beri kasih sayang yang banyak tetapi saya juga ingin rasa disayangi. Jadi, saya berdoa agar individu itu menyayangi saya lebih daripada saya mencintainya.

“Seseorang yang setia sangat sukar untuk ditemui pada hari ini.

“Seseorang yang faham bahasa cinta dan akan lakukan apa sahaja untuk pastikan saya bahagia dan tidak akan berkata perkara buruk yang menyakiti hati saya.

“Saya pernah fikir meminta perkara-perkara ini adalah mustahil sehingga saya sedar saya minta kepada Allah yang mencipta langit dan bumi, tiada yang mustahil bagi-Nya,” ujarnya.

Baca juga: Syamsul belum balik rumah jumpa ibu mungkin sebab masih merajuk, Yusof Haslam titip pesanan sebagai bapa