Amar Asyraf tak akan berlakon lagi, serik dibayangi serba salah kerana bersentuhan pelakon wanita

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon Amar Asyraf yang pernah popular dengan drama Setia Hujung Nyawa kira-kira 12 tahun lalu, kini membuat keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam industri lakonan.

Pelakon berusia 38 tahun itu memberitahu, tindakan itu didorong dari rasa bersalah dan tidak selesa melakukan babak bersentuhan dengan pelakon wanita ketika penggambaran.

Amar berkata, kali terakhir berlakon, dia memegang bahu pelakon, Mimi Lana dan itu membuatkan dia berasa sangat bersalah.

“Padahal, pegang bahu dan tak sentuh pun. Tapi, dalam kamera nampak macam sentuh betul. Saya tahu, sebelum itu saya ada pegang-pegang, peluk pun pernah. Tapi, itu aib dulu.

“Jadi, saya rasa nak ubah sebab dah tak boleh. Itu antara sebab-sebab. Takutlah,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Amar berkata, dia kini memilih untuk memberikan tumpuan penuh kepada perniagaan wangian yang dibinanya.

“Saya berbincang dengan isteri dan rakan usahawan. Saya pernah buat perniagaan sebelum ini, tapi ada yang lingkup sebab tak tumpukan perhatian. Bila fokus, syukur kepada Allah SWT, ia mula menjadi.

“Sumber pendapatan utama dari perniagaan. Dari dunia seni memang tak ada langsung dah sebab saya potong terus. Orang nak upah saya untuk buat ulasan produk pun, saya buat secara percuma.

“Tawaran memang ada. Baru-baru ini pun ada orang hubungi untuk tawarkan lakonan, tapi saya tak buat kot,” katanya.

Baca juga: Baru tahu ada cara ‘settle’ bila rumah rosak sebelum dihuni, ikut 3 langkah ejen hartanah ini!