Kebanyakan generasi muda zaman kini tidak lagi mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh disebabkan faktor keliru akan ideologi asing di media sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap kurangnya kefahaman ini adalah disebabkan ramai tidak tidak mengikuti pendidikan Islam di peringkat kanak-kanak.
Menurut Harian Metro, kerajaan sudah melaksanakan beberapa kajian mengenai kefahaman dan amalan agama Islam kepada pelbagai lapisan umur.
“Kerajaan melaksanakan beberapa kajian berkaitan dengan kefahaman dan amalan agama Islam dalam kalangan masyarakat beragama Islam di pelbagai peringkat umur dan dalam pelbagai aspek.
“Kajian ini menggunakan pelbagai kaedah dan metodologi termasuk kajian kualitatif dan kuantitatif.
“Setiap kajian yang dilaksanakan turut membabitkan pelbagai agensi kerajaan lain serta pusat pengajian tinggi di Malaysia,” katanya menerusi jawapan bertulis semalam.
Jawapan tersebut adalah untuk soalan yang diajukan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai apakah wujud kajian dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap berapa ramai umat Islam yang tidak bersolat dan langkah untuk mengatasinya.
Wujudkan lebih kelas Kafa, Jakim perkasa fungsi masjid
Tambah beliau, pihak kerajaan akan mewujudkan kelas Kafa serta menggalakkan ibu dan bapa menghantar anak-anak bagi mengikuti pelajaran agama Islam di kelas Kafa.
Pada masa sama, pihak Jakim akan sentiasa memperkasa fungsi masjid dengan mengadakan kelas agama, tazkirah dan pengajian bagi semua golongan.
Ini termasuk untuk mereka yang mendapatkan penjelasan berkaitan agama Islam secara formal dan tidak formal.
“Kerajaan turut menggembleng usaha, tenaga dan pemikiran dalam mengisi ruang-ruang bagi memberikan pendidikan agama Islam untuk golongan muda melalui program MyInsaniah.
“Program ini diperkenalkan dengan memberi tumpuan penyertaan kepada semua belia di negara ini dengan tiga modul khusus iaitu modul kepimpinan, modul jati diri dan modul citra Malaysia.
“Dengan adanya program seumpama ini, diharapkan generasi muda cenderung mendidik diri mengikuti suruhan Allah terutamanya dalam menunaikan solat,” katanya.
Baca juga: