Ada cerita yang tersimpan di sebalik lagu hasrat, Amir Jahari dedah pernah cuba bunuh diri terjun jambatan

Oleh KIM SYAZIE

Nama penyanyi dan komposer, Amir Jahari mula menjadi tumpuan ramai selepas dia berjaya diangkat sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung minggu lalu.

Di sebalik lagu hasrat yang berjaya mendapat tempat di hati peminat, Amir mengungkapkan perjalanan penuh duri yang dihadapinya sehingga pernah terdetik untuk membunuh diri.

Kata penyanyi berusia 32 tahun itu, kejadian itu berlaku sebanyak tiga kali ketika dia berdepan dengan masalah kemurungan yang begitu teruk pada 2018.

Menurut Amir atau nama sebenar, Mohamad Amirullah Jahari, pada waktu itu dia pernah mencuba terjun dari jambatan sebanyak tiga kali.

“Saya pernah mencuba untuk membunuh diri  sebanyak tiga kali tapi saya tidak jadi teruskan ketika itu.

“Setiap kali saya nak terjun dari jambatan, mula-mula saya terbayang wajah emak saya. Kali kedua pula, saya terbayang wajah isteri dan anak.

“Kali terakhir, saya terbayangkan wajah guru saya (Almarhum Raja Ashman Shah),” katanya kepada media kira-kira tiga bulan lalu.

Ditanya mengenai lagu ciptaannya Hasrat, Amir sambil menitiskan air mata berkata, lagu itu dicipta sewaktu dirinya mendapat berita arwah bapanya menghidap penyakit kanser paru-paru.

“Saya sedih sebab buat lagu ini sewaktu dapat tahu arwah ayah mendapat sakit kanser dan sudah meninggal dunia pada tahun lalu.

“Saya buat lagu ini pada 2018 dan waktu itu saya sendiri mengalami kemurungan sehinggalah saya ambil keputusan untuk berhenti menyanyi pada 2020.

“Tapi mungkin rezeki saya, sebab ketika itu ada permintaan dari pihak filem ‘Imaginur’ untuk buat lagu jadi saya gambarkan bagaimana keadaan ayah saya sekiranya dia meninggal menerusi lagu Hasrat ini,”katanya.

Untuk info, Amir yang juga pencipta dan penulis lirik lagu itu menewaskan 11 lagu lain yang bertanding sekali gus berjaya membawa pulang hadiah utama sebanyak RM100,000 dan trofi.

Baca juga: Baru tahu boleh guna ‘air fryer’ nak buat ikan keli goreng, lumur dengan perencah nasi goreng ‘konfem’ padu