Norman Hakim nekad telan 10 papan paracetamol, hadapi fasa gelap kerana isu ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, pelakon Norman Hakim rupanya pernah bertindak di luar jangkaan ketika menghadapi fasa tergelap di dalam hidupnya sepanjang bergelar anak seni.

Mengalami depresi atau kemurungan yang teruk, Norman mengakui dirinya ketika itu merasa sangat tertekan apabila menerima pandangan serong daripada orang ramai.

Perkara tersebut dikatakan berpunca daripada masalah rumah tangganya bersama bekas isteri iaitu pelakon, Abby Abadi yang menjadi buah mulut rakyat di negara ini.

Seakan-akan sudah berputus asa meneruskan kehidupannya, Norman memutuskan untuk membuat panggilan kali ‘terakhir’ kepada ibu bapanya memohon keampunan.

Mengejutkan, pendedahan tersebut dilakukan oleh pemilik nama sebenar Mohamed Nurhakim Zaidon itu menerusi program Healing With Zizan, lapor Gempak.

“Situasi ketika itu saya rasa dull, kosong. Di hari yang saya hadapi tekanan itu, saya menelefon mak dan arwah ayah pada pukul 4 pagi. Saya cakap mak ayah, minta maaf.

“Saya minta halalkan makan minum dan segala susu mak. Ini panggilan telefon yang terakhir daripada saya. Selepas itu, saya buat tindakan tidak masuk akal kerana batasan iman semakin nipis.

“Saya ambil Paracetamol 10 papan dan hancurkannya sebelum diminum dengan air. Kemudian saya terus tutup mata,” kata Norman memetik laporan Gempak.

Norman yang kelihatan seperti sedang menahan sebak itu meluahkan kesyukuran kerana Allah masih menyayangi dirinya apabila terjaga beberapa jam kemudian.

Bagai diberi peluang kedua, aktor yang mula meraih populariti menerusi filem Pasrah itu mengambil iktibar di atas kejadian tersebut untuk berubah menjadi lebih baik.

“Pukul 9 pagi saya terjaga. Allah berikan saya peluang kedua dalam kehidupan dan ia menjadi ‘turning point’ kepada saya. Dua jam saya berdoa atas sejadah. Mohon supaya Allah buatkan saya ambil iktibar dengan apa yang berlaku.

“Dari titik itu jugalah saya mula melaksanakan solat taubat. Kalaulah saya mati pada waktu itu, tidak cium bau syurga.” Kongsi Norman Hakim kepada pelawak dan pengacara, Zizan Razak.

Baca juga: Hadir ke mahkamah naik kapcai EX5 dan berselipar, gaya bersahaja Datuk Red curi tumpuan