Seorang lelaki tidak pernah menyangka dirinya bakal kehilangan isteri hanya kerana terlalu mengikutkan hasrat seorang insan bergelar ibu.
Begitu ringan mulut mengucapkan lafaz talak, lelaki yang baru dua tahun mendirikan rumah tangga itu menjadi duda sekelip mata kerana membiarkan ego menguasai diri.
Mula menyesali tindakannya selepas dua minggu berpisah, berikut perkongsian seorang duda yang masih mengharap kasih dengan isterinya kembali bertaut semula.
“Assalamualaikum semua, aku Hairi. Kisah yang aku ceritakan ini baru sahaja terjadi pada diriku. Aku baru sahaja bercerai dengan isteri atas ego dan silap sendiri. Harap bekas isteri dapat maafkan dan beri aku peluang lagi untuk menjadi suami yang baik untuk dia. Kami sudah dua tahun berumah tangga dan dikurniakan seorang puteri.
“Kami buat perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan isteri disebabkan pekerjaan. Aku di Kuala Lumpur dan dia pula seorang guru di utara tanah air. Di sini aku tinggal dengan keluarga. Isteri pula dengan keluarganya di utara. Aku ada niat untuk pindah bekerja dengan isteri. Tetapi mak tak izinkan. Macam-macam dia ugut aku.
“Aku pun bodoh, ikut sahaja. Sampaikan hati isteri sendiri pun aku abaikan. Masa dia mengandung, aku langsung tak ambil tahu. Sebab aku terlalu ikut semua cakap mak untuk biarkan isteri berdikari. Nafkah pun aku bagi RM200 sahaja sebulan. Barang-barang anak, satu pun aku tak pernah belikan.
“Satu hari, aku dapat tahu isteri nak melahirkan anak. Dia beri tahu malam sebelum melahirkan. Katanya, rasa macam nak bersalin. Tetapi aku buat tak tahu dan terus tidur. Isteri selamat melahirkan puteri kami pada jam 6 pagi. Aku sampai sana jam 5 petang. Betapa kejamnya aku, tiada masa dia perlukan suami di sisi.
“Aku tahu isteri terasa. Tetapi aku buat tak nampak tanpa ada kata maaf. Bodohnya aku. Tiap-tiap bulan kami bergaduh hanya sebab nafkah yang aku bagi. Dia cakap aku lepaskan semua tanggungjawab di bahunya. Masa ada anak, aku hanya berikan RM150 kepadanya. Aku terlalu ikutkan apa kata mak.
“Mak cakap isteri aku bekerja. Duit itu boleh berikan kepada mak untuk beli barang lain. Bodohnya aku waktu itu. Lama-kelamaan isteri berhenti mesej di Whatsapp atau hubungi aku. Masa itu aku tak anggap serius. Sampailah satu hari, mak telefon kata ada surat dari mahkamah. Isteri minta cerai. Masa itu aku rasa sangat marah.
“Aku pergi jumpa isteri dan minta penjelasan. Satu sahaja yang dia cakap, aku tak adil. Aku lebihkan mak dan ketepikan hak dia. Masa itu juga aku terus ceraikan isteri. Bodohnya aku waktu itu. Aku terlalu ego. Dua minggu selepas kejadian itu, aku mula rasa rindu. Aku rindu dia telefon, rindu dia merajuk dan semua tentang dia.
“Masa itu barulah tersedar, aku sudah kehilangan orang yang terima aku seadanya. Untuk pengetahuan semua, aku ini kerja kilang sahaja. Masa kami kenal, aku tiada kereta. Isteri masih terima aku. Katanya, mahu susah senang dengan aku. Zalimnya aku. Dia belikan kereta terpakai untuk senang aku balik jenguk dia dan anak.
“Tetapi aku gunakannya untuk kesenangan mak pergi membeli belah. Sekarang ini, aku tak tahu dia pindah mana. Aku cuma nak minta maaf dengan dengannya. Aku tahu kamu semua akan kecam. Tetapi niat aku cuma nak minta maaf. Aku tahu dekat hati, sudah tiada ruang untuk kembali. Walau macam mana dipujuk, aku tahu.
“Dia boleh dapat lelaki yang lebih baik daripada aku. Untuk bekas isteri aku Erina, maafkan abang atas kekilafan semasa abang masih suami awak. Kalau ada jodoh di antara kita lagi, abang bersyukur. Tetapi kalau tiada, abang reda sebab ini semua salah abang. Kepada lelaki di luar sana, hargailah isteri anda semua.
“Jangan kerana ego dan kejar syurga seorang ibu, anda hilang isteri iaitu insan yang ikhlas bersama kamu. Aku harap kisah ini menjadi teladan buat lelaki-lelaki di luar sana. Jangan jadi macam aku. Disebabkan ego dan rasa semua yang mak cakap itu betul, aku kehiilangan isteri.” Kongsi pemuda itu di laman luahan atas talian.
Baca juga: Malas bekerja, lelaki menyamar jadi pengemis berjaya jana RM40k sebulan
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio