Penyanyi dan komposer, Ajai menolak hasrat peminat yang berharap dapat melihat semula gandingan antara dirinya dan bekas isterinya iaitu Nourul Wahab di atas pentas membawa lagu-lagu duet popular mereka.
Penyanyi dan komposer, Ajai menolak hasrat peminat yang mahu melihat dia bergandingan sekali lagi dengan bekas isterinya, Nourul Wahab dalam menjayakan Konsert By Ajai & Mega Friends.
Mengulas lanjut perkara itu, Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas, 50, menjelaskan keputusan dibuat selepas mendapati keserasian beraksi bersama atas pentas tidak lagi wujud.
Kata Ajai, mungkin Nourul akan bersikap profesional, tapi tidak baginya.
“Saya tak kisah jika ada yang anggap tindakan saya sebagai tak profesional.
“Biarlah netizen nak cakap apa kerana mereka tak rasa apa yang saya rasa. Nak menyanyi bersama kena ada ‘vibes’ dan saling berpandangan.
“Bagaimana nak cipta keserasian jika ia sudah lama tiada. Bagi saya yang berlalu itu, biarlah berlalu. Saya harap semua orang boleh hormati pendirian saya,” katanya menurut BH Online.
Dalam pada itu, Ajai turut menafikan tindakannya kerana masih menyimpan amarah terhadap penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka itu.
“Saya tak ada masalah peribadi dan tak kata tidak suka dengannya. Cuma saya tak boleh nak menipu kalau nak menyanyi bersama.
“Kalau menyanyi kena ada perasaan ikhlas, tapi kalau ia tak terpancar daripada hati, susah juga. Tapi siapa tahu, kami boleh kembali menyanyi bersama, suatu hari nanti,” katanya ditemui pada sidang media Konsert By Ajai & Mega di sebuah hotel, di Mutiara Damansara.
Konsert anjuran Menara Network Sdn Bhd itu menghimpunkan ramai artis ternama seperti Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip dan Aufahanie, manakala Sharon Paul bertindak sebagai Pengarah Muzik.
Baca juga: Hanya guna 5 bahan! Ini resipi ‘udang belon’ yang popular di Thailand