Kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menghina Raja-Raja Melayu telah dilengkapkan dan dihantar kepada pejabat Peguam Negara.
Difahamkan, siasatan dijalankan selepas kenyataan Abdul Hadi yang bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ itu disiarkan di portal berita atas talian, pas.org.my pada 20 Februari lalu.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang turut memaklumkan pihaknya kini sedang menunggu arahan dari pejabat Peguam Negara berhubung tindakan selanjutnya, lapor Sinar Harian.
Ulas Razarudin, keterangan Ahli Parlimen Marang itu telah dirakamkan pada Selasa lalu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
“Beliau (Abdul Hadi) telah diambil keterangan oleh pegawai USJT di ibu pejabat Pas pusat, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
“Kita telah melengkapkan kertas siasatan dan ia telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Razarudin turut mengesahkan bahawa siasatan tersebut dijalankan oleh pihaknya mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita pada 29 Februari lalu berhubung kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin iaitu Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 15 Februari lalu.
Susulan itu, baginda berkenan untuk mengutus surat yang mengandungi lima halaman kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.
Antara kandungan surat itu menyebutkan kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan dan akhirnya menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
Baca juga: Sorok minyak masak peket, KPDN serbu pasar raya, jumpa 30 peket disembunyi dalam stor