Wanita mengeluh beli alat tulis 5 anak sampai RM600, sekali netizen basuh, “pi beli jenama mahal pasaipa”

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita meluahkan kekeluhannya apabila terpaksa berhabis hampir RM600 hanya untuk kelengkapan alat tulis lima orang anaknya yang masih bersekolah.

Kata wanita itu, jumlah tersebut belum lagi termasuk perbelanjaan untuk pakaian sekolah anak, kasut dan bag sekolah mereka.

Dia mendakwa turut berhabis sekitar RM500 membeli baju sekolah anak-anaknya.

Wanita itu menyertakan resit perbelanjaan alat tulis untuk lima orang anaknya yang berjumlah RM597.30.

Bagaimanapun, niat untuk mengadu akhirnya memakan diri sendiri apabila warganet mengatakan bahawa wanita itu yang mencari ‘penyakit’ kerana memilih untuk membeli alat tulis berjenama mahal.

Antaranya jenama Buncho yang harganya agak keras berbanding jenama lain.

“Dah tahu anak ramai pergi beli jenama Buncho pasaipa? Pastu mengeluh kata harga barang naik. Sebenarnya, dari plan nak ada anak pun dah kena tahu akan guna banyak duit waktu anak-anak mula sekolah. Jadi, pandai-pandai rancang ye,” kata salah seorang pengguna X.

Ada yang menasihatkan ibu bapa bahawa tidak semestinya kesemua barangan persekolahan anak perlu dibeli sekaligus, sebaliknya rancang dengan menyediakan barangan yang diperlukan sahaja.

“Sebenarnya buka sekolah ni bukan bermakna semua kena beli baru. Beli yang perlu je lah. Saya sendiri beli baju dan kasut je sebab alat tulis pakai mana yang ada dulu. Dari masa ke semasa beli alat tulis bila perlu,” komen warganet.

Untuk rekod, kerajaan telah mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk setiap murid yang berjumlah RM150 seorang bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

Baca juga: “Perempuan simpanan siap cop aku isteri derhaka, pendamai mahkamah pula sibuk main telefon, suami pula tak nak lepaskan”