Tular sebelum ini mengenai Mawla Mohamed Amin al-Hassani atau Mawla Amin yang mendakwa dirinya adalah keturunan Rasulullah SAW.
Sehingga kini ramai membuat pendedahan disebalik watak baik, rupanya Mawla Amin telah menubuhkan sebuah mazhab yang kononnya menyediakan penganutnya untuk akhir zaman.
Harian Metro hari ini mendedahkan sebidang tanah seluas 11 hektar dibeli di Melaka hasil kutipan dana awam adalah untuk membangunkan perkampungan kerajaan sembilan.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh bekas pengikut yang menyedari dirinya terpedaya dengan rancangan mereka untuk membangunkan perkampungan sejak 2017 lagi.
Tambahnya, mudir madrasah terbabit ada memberi penerangan berkaitan kerajaan sembilan.
9 agenda ‘kerajaan 9’
Kerajaan tersebut akan ada sembilan pakar dalam sembilan perkara di mana mereka akan dilantik menggerakkan yayasan baru yang ditubuhkan.
“Tiga perkara awal membabitkan kerajaan sembilan itu dirahsiakan, tiga perkara kedua adalah khidmat iaitu merujuk kepada ahli khidmat
“Tiga perkara ketiga adalah cabang perniagaan bagi mengumpul hasil pertubuhan termasuk agensi pelancongan, produk keluaran, produksi media, kedai runcit dan sebagainya,” ujarnya seperti dipetik Harian Metro.
Bekas pengikut tersebut turut mendedahkan ada melawat tanah tersebut bersama 15 orang lain pada 19 Jun 2023.
Lawatan tersebut adalah untuk merealisasikan perancangan dan mengembangkan pengaruh sedia ada bagi mewujudkan negara daulah kerajaan sembilan.
Perkampungan dibahagi kepada dua bahagian
Personaliti media itu turut mendedahkan bahawa perkampungan di atas tanah seluas 11 hektar terbabit dengan harga lebih RM3.4 juta akan dibahagi kepada dua bahagian.
“Perkampungan itu akan dibangunkan kepada dua bahagian iaitu The Moulay Height iaitu kawasan penempatan Mawla Amin dan pembesar serta ahli khidmat.
“Manakala satu bahagian lagi Jabal Alam Malacca The Moulay Village iaitu penempatan pengikut yang ingin menjalani kehidupan bersama mereka.
“Pada 2 September 2023, saya juga menerima mesej WhatsApp dari Mawla Amin berkaitan fail PDF yang saya yakin ia adalah pelan perancangan negara daulah kerajaan sembilan dan cuba membabitkan saya dalam perancangan itu melalui satu syarikat sedangkan syarikat ditubuhkan itu tidak pernah berfungsi dan langsung tiada transaksi,” katanya.
Pindahkan duit atas dasar infak, pinjaman
Pada masa sama, beliau turut memindahkan hampir RM14k ke akaun bank Mawla Amin dan memaklumkan sudah menguruskan transaksi lebih RM600k.
“Transaksi dana yang diuruskan termasuk wang ringgit dan emas dengan jumlah terkumpul RM600,000 sepanjang dua tahun saya bersama mereka.
“Saya juga memindahkan RM13,800 ke akaun bank milik Mawla Amin di mana dana diberikan itu atas dasar infak dan pinjaman.
“Malah saya difahamkan dana itu juga untuk urusan pembelian madrasah di Fes, Magribi namun sehingga kini dana pinjaman itu masih belum dipulangkan,” katanya.
Polis kini memantau semua kegiatan Mawla Amin dan pengikutnya, serta menyiasat untuk mengenal pasti sebarang kesalahan atau penyelewengan yang dilakukan.
Baca juga: Rupanya Mawla Amin ada 2 kerakyatan, tiada kaitan langsung dengan Sharif Idrissi di Maghribi