“Suami cakap dia penat dengan aku dan anak, jadi dia cari perempuan lain, katanya lebih memahami, ‘bonus’ sebab dia kerja”

Oleh MAISARAH AISYA

Komunikasi dalam perkahwinan itu sangat penting, tak perlu mengadu domba hal dalam kain kepada orang luar untuk meraih simpati.

Bila dah mula mengadu maka mulalah terjatuh hati konon si dia lebih memahami padahal isteri dan anak juga yang sering bersama ketika susah senang.

Seorang wanita, Senja (bukan nama sebenar), melihat perubahan diri suami selepas berkenalan dengan rakan sekerja di pejabat.

DI bawah adalah perkongsian tersebut.

Kisah aku ni start awal tahun ni. Sangat-sangat baru ya. Aku cuma terkejut bila suami aku berubah sangat drastik lepas dia kantoi chat dengan officemate dia.

Mula-mula aku marah dan dia masih pujuk aku lagi dan yakinkan aku yang dia dah stop chat tapi lama kelamaan benda ni jadi berlarutan sebab dia kata dia rasa kosong dan tak ada hati dengan aku.

Semakin hari semakin teruk. Dia kata mulut dia kata nak dekat aku dan anak-anak tapi hati berkata lain.

Sebelum kantoi dia masih layan aku dengan baik macam sebelum ni tak ada yang berubah pun tapi semua tu berubah selepas kantoi.

Aku mengaku yang semua punca ni berpunca dari aku. Dia baik, bertanggungjawab tapi mungkin sebab aku isteri yang tak memahami dia dan banyak ambil kesempatan mungkin.

Dia mengadu dia penat tapi dia kata aku buat taktau padahal selalu kalau dia mengadu penat aku suruh dia rehat tapi tulah dia sebenarnya penat mental bukan fizikal.

Salah aku sebab tak faham dia. Dia penat balik kerja dia nak layan aku dan anak lagi, kerja rumah lagi.

Kerja rumah kebanyakan dia yang buat walaupun bukan hari-hari tapi dia kata sebab dia sedar tu tanggungjawab dia kecuali memasak, lipat baju, urus anak aku yang buat dan aku tolong bab-bab bila aku rasa nak tolong jela.

Bila semua ni jadi dia kata dalam rumah tangga ni sepatutnya dua orang tapi dia rasa dia seorang ja yang gerakkan.

Minta isteri kerja sedangkan tengah mengandung

Tambah pula sekarang aku pregnant anak nombor dua jadi disebabkan banyak faktor yang mempengaruhi masalah ni berlaku.

Suami aku sendiri kata yang dia takut dengan tanggungjawab yang dia pikul. Dia nampak satu lagi tahun yang akan memenatkan dia.

Aku tak salahkan dia sebab aku sedar salah aku. Aku suri rumah dan semestinya tak kerja la kan.

Disebabkan komitmen kami yang agak tinggi so dia buat dua kerja (part time rider bila weekend). Sebelum-sebelum ni dia ada la tanya tak nak cari kerja ke.

Ya salah aku sebab sangat bodoh tak faham maksud dia. Dia nak aku kerja untuk tolong dia tapi selalu dia akan guna ayat ‘kerja untuk diri awak sebab senang kalau awak teringin apa-apa boleh beli sebab saya tak mampu nak bagi lebih’.

Aku sendiri teringin nak kerja bukan tak teringin tapi aku lebih pentingkan anak aku. Cuba bayangkan komitmen kami dah tinggi tambah pula nak hantar anak ke pengasuh or taska lagi dan anak aku pulak baru discharge dari semua appointment hospital dia.

Uruskan anak sakit

Kalau aku kerja aku kena kerap minta cuti tu tak termasuk untuk appointment klinik dan sakit demam dia lagi.

Anak aku lahir prem dan waktu umur sebulan dia kena meningitis so doktor memang pantau dia sampai last appointment haritu. Makan tahun bukan sebulan dua tau.

Macam-macam bisnes online aku buat tapi nak buat macam mana bukan rezeki aku boleh berjaya dalam bisnes online. So semua tu dia tak nampak usaha aku nak tolong dia.

Dia bandingkan aku dengan perempuan tu. Mungkin sebab aku tak bekerja buatkan dia lebih memilih perempuan tu berbanding aku dan anak-anak.

Dia kata dia nampak perempuan tu boleh tolong dia dan cara perempuan tu layan dia buat dia jatuh hati.

Lagi satu dia kata aku tak faham dia. Sikap dia sangat berbeza dengan diri dia yang sebelum ni.

Sekarang suka keluar dengan kawan, balik kerja lambat, dengan anak pun dah jarang bermain, bukan dengan aku saja dia berubah dengan family pun dia dah berubah.

Daripada seorang family man (sebelum kahwin lagi dia memang seorang yang family man) ke seorang yang nak hidup macam orang bujang.

Dari sebelum kahwin dia tak suka keluar lepak dengan kawan2. Perubahan dia buatkan semua orang hairan.

Anak aku yang memang rapat gila dengan ayah dia sebelum ni sampai dah kurang rapat dengan ayah dia. Dah kurang tanya pasal ayah dia.

Pasang niat nak ajak perempuan tu kahwin

Dia pun dah memang nekad nak berpisah dengan aku. Siap dah bersembang pasal kahwin dengan perempuan tu padahal baru kenal sebulan dua.

Walaupun dia kata dekat perempuan tu bukan dalam tahun ni dia nak berpisah dengan aku tapi dia dah bagi harapan kat perempuan tu.

Perempuan tu pun kata dia tak nak bermadu.

Bila dia buat baik dengan aku sekarang ni aku tak suka sebab aku tahu aku akan sakit sangat sebab hati dia dah tak ada untuk aku.

Aku cuma tertanya-tanya teruk sangat ke perbuatan aku dekat dia sampai dia berubah sebegini rupa sebab macam nak balas dendam dekat aku pun ada, macam nak mengajar aku pun ada.

Ada juga haritu dia kata sayang dekat aku tu masih ada dan masih peduli dekat aku.

Tapi kadang-kadang kata dah tak ada hati, dah tak sayang, layan sebab tanggungjawab dan kesian ja kat aku.

Aku ni kan betul tak faham sebab apa yang keluar dari mulut dia kadang-kadang macam bercanggah dengan apa yang dia kata sebelum-sebelum ni.

Aku tanya sebetul-betulnya dia nak apa dalam hidup dia tapi dia sendiri pun dia tak tahu nak apa. 

Aku tak baik pun banyak kurang aku dalam rumahtangga ni. Betul kata Labu komunikasi sangat-sangat la penting dalam rumahtangga.

Macam kes aku dan suami aku komunikasi kami sangat lemah, bila dah bermasalah baru lah sedar salah sendiri.

Suami aku selalu kata kenapa aku tak berubah dari dulu, kenapa sekarang baru nak berubah.

Aku kata la aku tak sedar salah aku bila dah jadi macam ni baru aku sedar salah aku dan aku betul-betul nak berubah.

Tapi aku kata la jangan risau aku berubah bukan sebab nak dia bagi aku peluang tapi untuk diri aku dan anak-anak.

Family mentua dan family aku pun tahu masalah ni dan mereka salahkan kami berdua. Mereka suruh masing-masing berubah dan beri peluang tapi suami aku dah tak nak bagi aku peluang.

Tapi aku bersyukur sangat sebab family mentua dan family aku selalu ada dengan aku. Diorang tak nak apa-apa jadi dekat aku dan suami aku tapi apa yang aku boleh buat sekarang ni hanya mampu berdoa dekat Allah swt sahaja.

Mungkin ini ujian untuk aku atau mungkin aku terlampau bergantung dekat suami aku so Allah SWT nak aku sedar bila kita terlampau bergantung dekat manusia bila-bila masa ja manusia boleh berubah hati.

Harini cakap sayang tapi esok belum tentu. Orang yang sayang kita, utamakan kita pada awal pun boleh berubah hati dengan sekelip mata.

Untuk perempuan-perempuan luar sana, kalau awak tahu tu suami orang walaupun dia ada masalah rumah tangga, tolong la jangan melayan.

Kalau pun awak suka kat suami orang tu pun tunggu jela kalau betul dia nak berpisah dengan isteri dia. Bila dah berpisah baru la korang masuk jarum.

Ni tak korang pun sama-sama melayan. Tak ada guna tau belajar tinggi-tinggi tapi benda macam ni pun korang tak boleh fikir.

Isteri diorang kat rumah tu sakit tau bila tahu suami diorang curang. Sakit yang diorang rasa hanya tuhan sahaja yang tahu.

Tolong jadi perempuan yang bermaruah. Mana tahu mungkin rumah tangga diorang dapat diselamatkan walaupun dihujung tanduk tapi disebabkan kehadiran awak dalam rumahtangga diorang habis hancur berkecai.

Doakan aku kuat tempuhi hari-hari aku yang berliku dan doakan aku selamat bersalin nanti. Semoga aku baik-baik sahaja dalam pantang nanti.

Baca juga: Wanita mengeluh beli alat tulis 5 anak sampai RM600, sekali netizen basuh, “pi beli jenama mahal pasaipa”