Nabil tolak ‘offer’ ratusan ribu ringgit dari jenama lain, dedah kebaikan Jakel sanggup adakan ‘job’ untuknya masa susah

Oleh KIM SYAZIE

Pengacara Nabil Ahmad mengakui dirinya tidak kisah menjadi duta jenama baju raya Jakel selama sembilan tahun berturut-turut, biarpun pernah dilamar jenama lain dengan bayaran ratusan ribu ringgit.

Pelawak itu berkata, kesetiaannya kepada Jakel disebabkan amat terhutang budi dengan jenama itu yang sanggup memberikannya pekerjaan ketika dia sedang dalam kesempitan.

Nabil berkata, pada waktu dia menghubungi gedung pakaian tersebut, Jakel sebenarnya tidak memerlukan dia sebagai duta.

Namun jenama terkenal itu sanggup ‘mengadakan’ pekerjaan hanya untuk dirinya memandangkan ketika itu Nabil benar-benar sedang kesusahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada jenama yang menawarkan saya ratusan ribu ringgit, tapi saya tolak. Ia kerana kesetiaan.

“Saya ingat lagi masa saya tengah tiada job waktu PKP hidup saya memang huru-hara, satu-satunya klien yang telefon saya minta saya buat video adalah Jakel. Tak bolehlah saya nak sebut jenama yang tawarkan saya itu. 

“Banyak yang mereka tawar tapi tidaklah sampai berjuta. Untuk saya ia nampak macam berlawan, kau bukan nak aku sangat, kau nak lawan sahaja nak tunjuk kau boleh beli kita,” kata Nabil.

Bagaimanapun, anak kelahiran Negeri Sembilan yang berusia 40 tahun itu berkata, dia bukanlah mata duitan dan tidak menyesal walaupun telah menolak bayaran tiga kali ganda yang ditawarkan jenama lain.

“Saya tidak menyesal, sebab saya rasa tiada cara lain untuk saya membalas budi dan tiada cara lain nak beritahu orang yang saya setia di sini. Saya letakkan kesetiaan pada itu, bukanlah saya letak nilai pada duit semata-mata. 

“Jakel sudah bagi saya pakaian hari raya selama sembilan tahun, bukan saya saja tapi keluarga saya termasuk orang tua saya. 

“Jadi di mana saya mahu balas jasanya? Kesetiaan itu yang penting, ia bukan pada wang ringgit sebab saya bukan mata duitan,” ujarnya lagi.

Nabil jug berkata bahawa dirinya akan terus setia bersama jenama itu.

Baca juga: Boleh buat makan petang, senang rupanya resipi kacang kuda sambal pedas