Mampu bersara dengan RM10K sebulan, lelaki kongsi bagaimana KWSP rakannya cecah RM1 juta di usia 45 tahun

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna Facebook berkongsi kepada orang ramai bagaimana salah seorang rakannya yang berusia 45 tahun, mampu memiliki RM1 juta dalam tabung persaraannya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut individu dikenali sebagai Nur Fadhli Bassar, rakannya itu hanyalah orang biasa yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) di Kuala Lumpur.

Namun katanya, orang biasa juga sebenarnya mampu membuat simpanan sehingga RM1 juta dalam tabung persaraan, dan ia adalah kisah benar.

“Sesungguhnya ada simpanan RM1 juta dalam KWSP untuk orang biasa itu benar.

“Tengok ni, penyata milik seorang ketua keluarga dalam ‘circle’ aku, umur 45, kerja bidang teknologi maklumat (IT) di Kuala Lumpur,” katanya yang turut berkongsikan tangkap layar penyata KWSP di hantaran tersebut.

Berdasarkan perkongsian yang dibuat, kenalannya itu mempunyai perkembangan karier yang normal dan serupa seperti orang kebanyakan.

Tetapi apa yang luar biasa adalah rakannya itu pergi dan balik kerja hanyalah menggunalan motor untuk mengelakk dari kesesakan trafik.

“Dia pergi balik kerja naik motor saja pasal tak nak sangkut dalam trafik jam. Graduasi umur 23 tahun terus kerja dan macam orang lain juga ada keluarkan duit dari Akaun 2 untuk beli rumah,” ujarnya.

Mengulas mengenai bagaimana individu terbabit mampu mengumpulkan sejuta di dalam KWSP, Nur Fadhli berkata terdapat lima tips yang dikongsikan oleh individu terbabit kepadanya.

Tips pertama menurutnya, seseorang individu perlu mempunyai pekerjaan yang stabil dengan gaji mencukupi.

“Kedua, kena mencarum dalam KWSP. Dia carum 11 peratus kemudian naikkan ke 12 peratus dan 13 peratus. Majikan dia pun mencarum juga. Berapa peratus bahagian majikan dia bagi, aku tak tahu.

“Ketiga, dia tak sentuh duit KWSP jika tak perlu. Tengok masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu berapa ramai terkesan. Dia steady, maka aku beranggapan dia ada simpanan kecemasan yang cukup.

“Keempat, dia tingkatkan caruman dengan cara tinggikan gaji dengan cara job hopping (boleh minta gaji lebih tinggi daripada majikan baru). Dia dah tukar majikan 8 kali,” jelasnya.

Kelima, perkongsian tersebut memaklumkan bahawa seseorang individu perlu membayar zakat daripada sebahagian pendapatan yang diperoleh bagi mendapatkan keberkatan di samping melakukan sedekah jariah.

Menurutnya, dengan jumlah simpanan sedemikian, dia percayai bahawa seseorang individu mampu bersara dengan kedudukan kewangan yang selesa.

“KWSP bagi dividen 5.4 peratus untuk 2023, jadi nanti dia dapat RM54,154. Kalau dia dah pencen, maknanya tahun ni dia boleh belanja RM4,512 sebulan hasil daripada duit dividen sahaja.

“Duit pokok sejuta tu tak payah usik pun. Tenang je hidup. Ini baru umur 45, kalau dia pencen umur 60, boleh cecah lebih dua juta dalam KWSP dia, ada harapan merasa pencen 10,000 sebulan dan duit pokok dua juta tu tak luak langsung.

“Jutawan senyap macam ni ramai tapi mereka humble dan low profile. Kita ambil semangat mereka. Kalau belum mula lagi, malam ni pasang niat dan mimpi dulu, esok jalankan,” katanya. 

Baca juga: Bukan tak terima takdir, rupanya ini punca Abby Abadi belum anggap Aslam menantu