Pembukaan 60 Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara kali ini bakal dimeriahkan dengan penawaran insentif kepada peniaga dan juga para pengunjung.
Bertujuan meringankan beban rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberi e-dompet bernilai RM20 kepada pengunjung bazar tersebut.
KPDN juga mengambil pendekatan untuk membantu peniaga dengan menawarkan insentif sebanyak RM50 kepada mereka yang menyediakan Menu Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah.
Perkara tersebut dikongsikan Timbalan KPDN, Fuziah Salleh ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Menurut Fuziah, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus peniaga di bazar berkenaan menawarkan Menu Rahmah yang dijual murah kepada pengunjung, lapor Berita Harian.
“Di bazar ini, kita akan memberikan insentif kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah sebanyak RM50. Kita juga akan beri insentif kepada pengunjung dalam bentuk e-Dompet bernilai RM20.
“Setiap lokasi bazar, akan ada 2,000 e-Dompet bakal dikeluarkan untuk membantu pelanggan yang mengunjungi bazar rahmah bagi membeli pada harga lebih murah.
“Ada Menu Rahmah, ada e-Dompet lagi,” katanya yang turut memaklumkan tentang perlaksanaan Ops Rantau di setiap bazar Ramadan bermula 12 Mac ini, memetik laporan Berita Harian.
Jelas Fuziah, operasi itu akan dijalankan oleh penguat kuasa KPDN bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga di nilai yang tidak munasabah.
Selari dengan pengumuman tarikh pemulaan puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja iaitu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada 12 Mac ini (Selasa), tentulah bazar Ramadan menjadi lokasi pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka.
Oleh yang demikian, Fuziah memberikan amaran kepada semua peniaga di bazar-bazar Ramadan seluruh negara supaya tidak membebankan rakyat dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.