Isu pihak pembangkang yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perhatian ramai terutamanya ahli parti terlibat.
Sebelum ini media melaporkan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada Anwar.
Susulan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran selepas pindaan Perlembagaan Bersatu diluluskan oleh pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Memetik Sinar Harian, Muhyiddin mengingatkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Dewan Negeri daripada parti itu yang menyokong pihak lawan akan dikenakan tindakan.
Tambah beliau, tindakan tersebut adalah kehendak dan keputusan dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu.
“Kami amat berharap dengan penyerahan pindaan ini kepada RoS, ia dapat dipertimbangkan secara positif dalam tempoh segera.
“Semua telah disempurnakan dan kita akan tunggu keputusan rasmi nanti termasuk tindakan menguatkuasakan peruntukan ini dilaksanakan secepat mungkin,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut memaklumkan selain pindaan, perlucutan ahli juga dibentangkan kepada Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad.
Pada masa sama beliau memaklumkan jika terdapat keperluan tertentu, pihak mereka akan memberikan maklumat dengan sebaiknya.
“Mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, saya telah memohon Ketua Pengarah akan memberikan pertimbangkan sebaik-baiknya dalam tempoh segera,” katanya.
Baca juga: Peniaga Bazar Ramadan Rahmah diberi insentif, pengunjung terpilih terima e-dompet