Sebelum ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa kantin sekolah perlu beroperasi sepanjang bulan.
Perkara tersebut bagaimanapun tidak disenangi oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya.
Ahmad menganggap tindakan Fadhlina seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.
Bawa bekal dari rumah
Memetik MalaysiaKini, Ahmad memaklumkan mereka bukan Islam boleh membawa bekal sahaja dari rumah.
“Mereka (pelajar bukan Islam) boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan. Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan.
“Ironinya, Dewan Ulama PAS Pusat melihat menteri sendiri gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan para pelajar Muslim yang harus diasuh untuk berpuasa sejak daripada kecil.
“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Perlu belajar hormat orang berpuasa
Baginya, arahan untuk buka kantin sepanjang bulan Ramadan ini bukan satu keperluan dan pada masa mengajar mereka menghormati orang Islam yang berpuasa.
“Bukan bermaksud kita menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari.
“Cuma ia juga satu bentuk didikan supaya mereka menghormati bulan Ramadan sejak di alam persekolahan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menekankan kepentingan untuk mengajar pelajar beragama Islam untuk berpuasa sejak kecil.
“Seharusnya kita memulakan langkah dengan memberikan pendidikan terhadap kepentingan berpuasa khusus kepada pelajar yang beragama Islam.
“Golongan pelajar bukan Islam juga akan turut menghayati kepentingan berpuasa walaupun tidak ada paksaan terhadap mereka,” katanya.
Baca juga: Nama Malaysia dipetik lagi, pengedar filem tempatan didakwa jadi bos ‘raja dadah India’