Selama ini, ramai yang beranggapan bahawa ibadah mandi wajib perlu dilakukan dengan teliti dan mengambil masa yang lama untuk disempurnakan.
Namun begitu, tanggapan tersebut disangkal oleh pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Don yang tampil menjelaskan proses ibadah mandi wajib dengan betul.
Sangat mudah dan tidak perlu menggunakan banyak air, Ustaz Don menegaskan bahawa mandi wajib adalah ibadah yang berbeza dengan mengambil wudhu.
Tidak seperti wudhu’ yang berada di dalam kategori yakin, mandi wajib hanya perlu dilakukan berdasarkan ‘dzon’ yang bermaksud ‘sangkaan’ di dalam bahasa Arab.
Berikut adalah penjelasan lengkap daripada Ustaz Don Daniyal yang dimuat naik oleh stesyen radio Suria FM menerusi satu hantaran di laman Instagram rasminya.
“Mandi wajib tidak sama seperti mengambil wuduk. Kalau wuduk kita kena yakin yang air sudah terkena pada anggota badan kita. Jika tak yakin, maka tidak sah.
“Tetapi kalau mandi wajib, cukup sekadar ‘dzon’. Maknanya apabila kita rasa air itu sudah diratakan ke seluruh badan, maka selesailah ibadah mandi wajib kita.
“Kita dah rasa basah, jadi selesailah. Sebab apa macam ini? Sebab kalau yakin, kita kena nampak yang air sudah terkena pada setiap anggota tubuh kita.
“Seperti di belakang badan, celah kelangkang, celah punggung dan segala pelipatan kulit. Susah nak nampak semua tu, tak akan nak letak cermin dekat bawah (celah punggung) kita pula.
“Sebab itu mandi wajib cukup sekadar ‘sangkaan’ yang kita sudah ratakan air ke seluruh badan dengan kemampuan tangan kita,” jelas Ustaz Don Daniyal.
Di kesempatan sama, Ustaz Don turut mendedahkan cara-cara mandi wajib Nabi Muhammad SAW yang hanya menggunakan sebekas air kecil untuk dijadikan contoh.
“Jadi itulah konsepnya (menggunakan air yang sedikit. Kata kuncinya ‘meratakan’ air ke seluruh badan. Maknanya kalau rasa dah kena air tu, maka selesailah mandi wajib.
“Sebab itu tidak perlu mandi wajib lama-lama dan menggunakan air yang banyak. Tentang berwuduk sebelum ibadah mandi wajib pula, ia adalah sunat.
“Cuma saya nak titipkan pesanan tambahan untuk mereka yang berbadan montel. Digalakkan untuk bertinggung sekejap ketika mandi wajib, supaya lebih senang air diratakan ke seluruh badan.” Pesannya.