Malaysia berjaya menempatkan diri di kedudukan selesa dalam senarai 30 negara terkaya di Asia untuk tahun 2023 dengan menduduki tangga ke-15.
Turut mengalahkan kuasa besar Asia iaitu China, kejayaan ini sekaligus membuktikan Malaysia masih mampu bersaing dalam sektor ekonomi dengan negara-negara lain.
Bukan itu sahaja, Malaysia juga berhasil mendahului negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia dengan masing-masing berada di dalam kedudukan yang ke-18 serta 21.
Difahamkan, senarai tersebut dikeluarkan seasia.stats menerusi laporan bertajuk ‘30 Negara Terkaya di Asia’ yang turut dikongsi melalui satu hantaran tular di Instagram.
Menurut seasia.stats, kedudukan tersebut ditentukan dengan berlandaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dinilaikan mengikut pariti kuasa pembelian (PPP).
Berdasarkan senarai itu, kedudukan teratas dibolot oleh Singapura diikuti Brunei di tangga kedua dan Pentadbiran Khas Wilayah (SAR) Macau di tempat yang ketiga.
Seasia.stats dalam laporan berkenaan turut menjelaskan bahawa prestasi ekonomi juga boleh dikatakan bergantung kepada faktor saiz negara dan juga jumlah penduduk.
Perkara ini terbukti apabila Singapura, Qatar dan Brunei selaku antara negara kecil di Asia berjaya menduduki tempat yang tinggi di dalam senarai ‘30 Negara Terkaya di Asia’.
“Negara terkaya di dunia selalunya berpenduduk sedikit di negara yang bersaiz kecil. Hal ini kerana, pandemik dan kelembapan ekonomi global hampir tidak menjejaskan kekayaan mereka.
“Oleh yang demikian, negara-negara kecil sering dianggap kaya kerana mempunyai ekonomi yang besar berbanding dengan penduduknya yang kecil,” kata laporan itu.