Konon ditawar habuan sokong Anwar, Wan Saiful sentuh isu imuniti lepas terima notis SPRM

Oleh WAN SITI AMINAH

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan membangkitkan isu imuniti atau kekebalan Ahli Parlimen selepas menerima notis dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Wan Saiful, dirinya turut menerima ‘gangguan’ dari badan antirasuah yang mahu merakamkan keterangan berhubung ucapannya ketika menyertai perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.

Sedangkan menurutnya, tidak ada mana-mana pihak boleh menyentuh perkara yang telah dimuktamadkan oleh Speaker termasuklah ucapannya yang disebut di dalam dewan baru-baru ini.

Dalam ucapan itu, Wan Saiful didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

“Saya terus-menerus dapat kacau ganggu daripada pihak berkuasa terutama SPRM. Saya baru dapat satu notis untuk dirakam percakapan mengenai apa yang disebut dalam dewan yang mulia ini.

“Saya berpandangan bahawa apa yang disebut telah diselesaikan oleh Speaker. Jadi tidak ada sesiapa boleh mengganggu imuniti yang disebut di dalam Seksyen 7 Akta 347.

“Jadi apabila ada kacau ganggu begini, bagi saya ini satu tekanan yang tidak wajar. Saya rasa tindakan diambil SPRM ini bukan saja melanggar imuniti, tetapi juga melanggar keputusan Speaker,” kata Wan Saiful, semalam.

Berdasarkan Seksyen 7 Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347), Ahli Parlimen diberi imuniti atau kekebalan daripada dikenakan prosiding sivil atas apa-apa petisyen atau usul yang dikemukakan dalam dewan.

Memberi respons terhadap isu dibangkitkan Wan Saiful itu, Datuk Ramli Mohd Noor selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan apa-apa keputusan Speaker adalah muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat 43.

Jelasnya, apa sahaja yang diperkatakan dalam Dewan Rakyat tidak tertakluk kepada undang-undang sivil melainkan jika diulang di luar Parlimen mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada keistimewaan Parlimen.

Ramli bagaimanapun berpendapat tindakan SPRM itu adalah untuk menjalankan siasatan terhadap isu yang ditimbulkan sambil menasihatkan Wan Saiful membuat laporan polis.

“Apa-apa yang dilaksanakan oleh SPRM ini, pada pandangan saya adalah proses penyiasatan. Yang boleh memutuskan apa-apa sekali pun mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan adalah kuasa AG (Peguam Negara).

“Saya rasa YB keluar dari dewan ini buat satu laporan polis supaya siasatan juga boleh dijalankan atas kuasa-kuasa dijalankan oleh SPRM dan pemutusnya adalah mengikut Perkara 145, iaitu Peguam Negara.” Ulas Ramli.

Terdahulu, Wan Saiful pada 28 Februari lalu mendakwa ditawarkan habuan berupa peruntukan RM1.7 juta untuk kawasannya sebagai balasan menyokong pemerintahan Perdana Menteri.

Tidak sampai satu jam selepas berucap, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa telah dihubungi oleh pegawai SPRM berhubung dakwaan yang dibuatnya di Dewan Rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata ia telah menjadi tanggungjawab individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan agar tindakan selanjutnya boleh diambil.

Oleh yang demikian, SPRM memberikan tempoh seminggu kepada Wan Saiful untuk membuat laporan berhubung pendedahan bahawa beberapa individu menawarkan ganjaran kepadanya.

Susulan itu, Ahli Parlimen kerajaan membuat usul menggantung Wan Saiful selama enam bulan dari sidang Dewan Rakyat kerana mendakwa Anwar menyalahgunakan kuasa tetapi membatalkannya setelah dia membuat permohonan maaf.

Baca juga: Pelik boleh terlepas pandang, kedai serbaneka popular teruk dikecam selepas jual stoking lambang kalimah Allah